Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada negeri ini.

Baginda bertitah, peruntukan tersebut tidak adil kerana ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk Selangor yang berjumlah 6.5 juta.

“Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19, dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Sultan Selangor mengingatkan Negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan kepada negeri ini.

Baginda bimbang perkembangan semasa ini akan menggagalkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini, sekali gus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya.

“Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.

Sultan Sharafuddin turut berdukacita dengan kes harian jangkitan Covid-19 di negeri Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun 2021 mencecah 203,520 kes, serta jumlah kematian yang amat membimbangkan (961 kematian sehingga 7 Jun 2021).

Menurut baginda, nyawa rakyat sepatutnya menjadi keutamaan berbanding agenda lain.

Justeru, Sultan Selangor mahu jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.

Baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.

Baginda juga berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

Dalam masa sama, Baginda merayu rakyat agar terus tekun mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan, termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan SOP wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan diri.
Malah, baginda mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta, serta klinik kesihatan yang masih bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh komited dan berdedikasi, demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
Baginda berharap seluruh rakyat dapat menghargai pengorbanan frontliners ini dan memberikan kerjasama penuh dalam usaha mengawal dan menghapuskan pandemik Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette