KUALA LUMPUR – Pergerakan Wiranita Putra Malaysia kecewa dengan kenaikan harga minyak masak di luar jangkaan di pasaran kini, ketika rakyat sedang menderita dengan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketuanya, Ros Hanita Mohd Basir berkata, kenaikan harga secara mendadak sehingga mencecah RM34 bagi botol lima kilogram dianggap sebagai keterlaluan dan tidak patut.
Katanya, minyak masak adalah barang kawalan, tetapi kenapa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak memantau, malah seolah memejam sebelah mata?
“Kenaikan harga ini seharusnya tidak berlaku ketika rakyat sedang bergelut dengan Covid-19, hilang pekerjaan dan pendapatan. Kerajaan memang gagal memantau dan menjalankan tanggungjawab dengan serius.
“Barang kawalan seperti minyak masak mempunyai prosedur serta laporan yang lengkap wajib disediakan oleh pembekal kepada KPDNHEP bagi memastikan stok mencukupi untuk rakyat. Seharusnya perkara seperti ini tidak terjadi ketika ini.
“KPDNHEP pula gagal menjalankan peranannya. Sepatutnya sebagai sebuah badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan mengawal harga barang kawalan, tidak sepatutnya harga minyak masak boleh melambung kepada RM34 untuk 5 kilo,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mempersoalkan, bagaimana pengeluar minyak masak boleh menaikkan harga tanpa kebenaran KPDNHEP sesuka hati dan ke mana hilangnya penguatkuasa kementerian itu serta kenapa diam seribu bahasa apabila isu itu timbul.
Kata Ros Hanita, kerajaan seharusnya faham rakyat amat terkesan dengan ancaman Covid-19 ketika ini dan sewajarnya mengambil tindakan segera menangani masalah kenaikan mendadak harga minyak masak ini.
“Perlu diingatkan ramai peniaga kecil gulung tikar kerana tidak mampu bertahan akibat pandemik, diburukkan pula dengan kenaikan mendadak harga barang dapur dan keperluan harian seperti ini.
“Di mana peranan agensi-agensi kerajaan yang mengawal barang keperluan rakyat? Kenapa masih berdiam diri?
“Kami gesa kerajaan dan KPDNHEP khususnya mengambil tindakan tegas terhadap pembekal yang menaikkan harga barang kawalan sewenang-wenangnya. Jangan biarkan mereka menangguk di air keruh dengan meraih keuntungan di kala rakyat dihimpit dengan pelbagai keperitan hidup,” ujarnya. – MalaysiaGazette