Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM551.56 juta diperuntukkan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 untuk meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi serta pembangunan negeri berjalan lancar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Fasa Pertama.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pakej itu dilaksanakan melalui 25 program bantuan yang berteraskan tiga strategi iaitu kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat, menyelamatkan industri, ekonomi serta usahawan negeri serta kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak.

Antaranya bantuan yang diberikan ialah bakul makanan untuk
golongan berpendapatan rendah dan golongan yang terkesan akibat pandemik dan pelaksanaan PKP, ujarnya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 bagi tujuan program tersebut dengan jumlah peruntukan berjumlah RM3.28 juta

Selain itu katanya, Selangor  akan memberi sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 untuk setiap pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di negeri itu.

Inisiatif ini, menurut Amirudin, dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri itu juga akan menerima bantuan one-off sebanyak RM 500.

Tambah Menteri Besar Selangor itu, kerajaan negeri juga  melaksanakan moratorium bayaran pinjaman HIJRAH selama satu setengah bulan kepada 40,000 usahawan di bawahnya.

“Inisiatif ini bakal memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta,” katanya ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 menerusi atas talian hari ini.

Turut menjadi fokus kerajaan negeri adalah penangguhan bayaran sewa selama sebulan kepada penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Smart Sewa di negeri itu, ujarnya.

“Seramai 2,632 individu yang menyewa di Rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa akan menerima manfaat penangguhan
bayaran sewa bulan Julai dengan impak kewangan berjumlah RM900,000,” tambah Amirudin.

Manakala, graduan yang baharu tamat pengajian pada tahun ini diberi kemudahan untuk melanjutkan pembayaran pinjaman ansuran kepada 12 bulan, katanya.

Menurut Menteri Besar itu, permohonan itu terbuka kepada semua peminjam yang menamatkan pengajian sepanjang tahun 2021.

Seramai 1,300 pelajar akan menerima manfaat dari inisiatif ini dengan impak kewangan berjumlah RM 1.3 juta.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas secara one-off sebanyak RM150 kepada guru-guru tadika.

Kerajaan negeri Selangor turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta kepada Selangor Advance untuk menampung perbelanjaan termasuk menyelamatkan pekerjaan kepada pekerja Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri itu.

Ujarnya ,inisiatif tersebut adalah bagi mengekalkan kelangsungan operasi syarikat masing-masing.

Selain itu, katanya, sebanyak RM80 juta diperuntukkan kepada 8,000 usahawan dengan modal awalan untuk memulakan perniagaan.

Usaha ini dikhususkan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendaftaran akibat pelaksanaan PKP, katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast