KUALA LUMPUR – Seramai 698,634 pekerja warga asing yang berada di dalam negara ini telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 1 Februari lalu sehingga semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari jumlah itu, 10,349 orang telah disahkan positif Covid-19.
Semalam juga, katanya, daripada 143 warga asing yang menjalani ujian saringan, 10 disahkan positif.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 698,634 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 36,194 majikan.
“Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, katanya, sebanyak 92,202 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara semalam.
Menurut beliau, operasi itu melibatkan 4,145 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 22,804 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semalam, 885 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 852 individu dikompaun dan 33 direman,” katanya.
Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (178), tiada penjarakan fizikal (145), tidak memakai pelitup muka (144), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (101), membawa penumpang berlebihan (73), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (79) dan lain-lain kesalahan (165).
Pada masa sama, kata Ismail Sabri, kerajaan menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan 86 operasi sanitasi meliputi 45 zon merah dan empat zon kuning di seluruh negara.
Operasi sanitasi itu, kata beliau, melibatkan kira-kira 500 anggota JBPM dan 186 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 77 jentera JBPM.
“Secara kumulatifnya, 26,914 operasi sanitasi merangkumi 156 zon dilakukan sejak 30 Mac tahun lalu.
“Operasi ini melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasaraya dan bangunan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette