Suasana di dalam Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang dipenuhi pesakit Covid-19 untuk dinilai tahap kesihatan mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2021

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mempunyai sebanyak 198 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara.

Sebelum ini, KKM pada Januari lalu hanya memiliki 148 CAC dan jumlah itu kini telahpun ditambah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, inisiatif mewujudkan CAC itu adalah bagi mengenalpasti kes-kes Covid-19 yang memerlukan rawatan lanjut bagi dirujuk ke PKRC atau hospital manakala, kes-kes stabil dibenarkan menjalani pemantauan kendiri di rumah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan kesesakan di hospital ketika negara sedang menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang mendadak, katanya.

“Oleh itu, pesakit Covid-19 kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (bergejala ringan) akan dipantau oleh CAC manakala, pihak hospital akan merawat pesakit kategori ketiga dan ke atas.

“PKRC pula adalah penempatan untuk pesakit kategori satu dan dua yang tidak layak untuk menjalani isolasi dan pemantauan kendiri di rumah,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham menjelaskan, CAC juga digunakan bagi tujuan memantau dan menilai perkembangan pesakit di rumah menggunakan borang pemantauan di rumah atau MySejahtera dan menyelaras rujukan pesakit ke PKRC atau hospital jika perlu, ujarnya.

Katanya, setiap CAC mempunyai pasukan yang terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).

“Peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak sejak April lalu menyebabkan beban tugas anggota di CAC bertambah. Terdapat peningkatan 150 peratus daripada jumlah kedatangan pesakit ke CAC, iaitu dari 4,000 sehari ke 10,000 sehari pada 5
Jun lalu.

“Begitu juga dengan jumlah kes aktif dalam pemantauan CAC yang meningkat 108 peratus dari 5,300 sehari ke 11,000 sehari.

“Selain itu, terdapat peningkatan jumlah kes yang memerlukan rujukan ke hospital  bagi tempoh dari 23 Mei hingga 5 Jun 2021 iaitu dari sembilan kes kepada 35 kes,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast