Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor dijangka memulakan proses pemberian vaksin kepada golongan sasar bulan depan.

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata, melalui  Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi memperolehi vaksin supaya imuniti kelompok dapat dipercepatkan.

Jelas beliau,  kerajaan negeri memfokuskan pemberian kepada golongan warga emas dan pekerja industri, perkilangan juga perkhidmatan,

Selain itu kata Amirudin, golongan yang berusia antara 13 tahun sehingga 17 tahun termasuk pesakit kategori 1, 2 dan 3 juga antara sasaran SCVP kelak.

“Alhamdulillah, setelah merancang untuk mendapatkan bekalan vaksin pada hujung tahun 2020 diikuti pengumuman hasrat Kerajaan Negeri bagi tujuan ini pada 11 Januari 2021, kerajaan negeri telah memulakan perbincangan seawal 8 Februari lagi.

“Akhirnya pada 1 Jun 2021 kita memuktamadkan dengan pembekal yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk membekalkan vaksin secara berfasa di negeri Selangor yang dijangka bermula pada akhir Jun 2021,” katanya.

Amirudin turut menyuarakan kebimbangan melihat data Kementerian Kesihatan iaitu 82,341 kanak-kanak dijangkiti Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 27,402 pesakit berumur antara 13 tahun sehingga 17 tahun dan termasuk kategori 1, 2 dan 3.

Sehubungan itu, katanya, golongan tersebut juga akan dimasukkan di dalam kerangka besar SCVP.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Fasa Pertama yang mula dikuatkuasakan pada 1 hingga 14 Jun 2021.

Sementara itu, beliau memberi jaminan kerajaan negeri Selangor akan sentiasa berbincang  dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan untuk menyelaraskan pembahagian vaksin kelak bagi mengelak kekeliruan.

Katanya, penyelarasan itu penting agar ia selari bagi mempercepatkan imuniti kelompok di Selangor Darul Ehsan sejajar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast