Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menekankan betapa pentingnya masyarakat mengambil iktibar dan merenungi kisah kematian pasangan suami isteri di Pasir Gudang, Johor, semalam.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kisah itu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya untuk terus menjaga sesama mereka, terutama dalam keadaan penularan wabak Covid-19.

Katanya, kisah itu juga memberi makna dan pengajaran pentingnya masyarakat mengambil peduli mengenai keadaan jiran sekeliling.

“Saya sedih dan simpati membaca kisah kematian pasangan suami isteri di Pasir Gudang, Johor ini. Suratan takdir kedua-dua warga emas ini ditemui meninggal dunia di ruang tamu kediaman mereka.

“Kedua-duanya dipercayai telah meninggal dunia 48 jam sebelum ditemui dengan mayat isteri disahkan positif Covid-19, manakala suami disahkan mengidap sakit kronik.

“Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan yang soleh,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Pasangan suami isteri warga emas itu ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, pasangan itu ditemui anak angkat lelaki mereka, yang datang melawat setelah panggilan telefon tidak berjawab.

Kata beliau, pasangan itu masing-masing berusia 68 dan 61 tahun dipercayai meninggal dunia akibat penyakit lama yang dihidapi dan hasil bedah siasat ke atas keduanya mendapati wanita berkenaan positif Covid-19.

Menurut Ahmad Zahid, walau dalam keadaan pandemik yang membimbangkan untuk menjenguk rakan dan jiran, tetapi konsep membantu sesama masyarakat dan jiran perlu terus ditekankan atas semangat kebersamaan.

“Gunakan sehabis baik mungkin medium komunikasi sedia ada untuk saling bertanya khabar kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

“Kepada rakan-rakan di media sosial sekalian, hubungilah ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing seberapa kerap yang mungkin.

“Semoga Allah menempatkan Allahyarham Pak Bakar dan Allahyarhamah Mak Besah di kalangan hambanya yang beriman, beramal soleh dan bersama para syuhada. Al-Fatihah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast