Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Empat wanita warga asing ditahan polis kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Merdeka Permai, Ampang semalam.

Menerusi serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 5.36 petang itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai menguruskan aktiviti tidak bermoral tersebut turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Esha berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya berdasarkan maklumat awam dan risikan.

“Kesemua suspek wanita yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 33 tahun manakala lelaki warga tempatan itu dipercayai bertindak sebagai pengurus kepada empat wanita warga asing yang menjalankan aktiviti pelacuran.

“Ketika serbuan, kesemua warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Farouk, kesemua tangkapan kini direman selama empat hari sehingga 13 Jun ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati aktiviti terlarang yang dijalankan itu telah beroperasi sejak sebulan yang lalu.

“Pengiklanan dibuat melalui media sosial iaitu aplikasi Telegram.

“Pelanggan akan membuat pembayaran secara atas talian sebelum memperoleh maklumat hotel dan nombor bilik dengan perkhidmatan seks ditawarkan pada harga RM180 sejam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan kompaun turut dikenakan ke atas pengurus hotel yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana memberi kebenaran terhadap aktiviti yang dilarang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hotel dan tempat penginapan hanya dibenarkan bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan untuk tujuan pelancongan atau apa-apa aktiviti terlarang.

“Kita turut mengenakan tindakan kompaun terhadap lelaki warga tempatan itu di bawah Peraturan 17 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372/372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Dalam pada itu, Mohamed Farouk turut memberi amaran terhadap orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pelacuran selain turut mengalu-alukan maklumat awam dalam membanteras kes berkenaan. – MalaysiaGazette