Pelekat tertera logo polis antara dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam di Seberang Prai Utara semalam.

SEBERANG PERAI – Taktik tiga lelaki menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut mangsa sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) terbongkar selepas  mereka ditahan polis semalam.

Bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU melakukan serbuan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam di sini pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil serbuan membawa kepada penangkapan tiga lelaki berusia 28 hingga 32 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan peras ugut dengan menyamar sebagai anggota polis sejak awal tahun.

Noorzainy.

Jelas beliau, tangkapn dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rompakan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam di sini kelmarin.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika salah seorang mangsa sedang mengambil rakannya di hadapan rumah yang didiami enam individu iaitu dua lelaki dan empat wanita.

Kata Noorzainy, dua lelaki itu secara tiba-tiba didatangi tiga suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru sebelum memperkenalkan diri sebagai polis.

“Suspek mengarahkan mereka masuk ke dalam rumah konon untuk melakukan pemeriksaan sebelum meminta semua penghuni rumah itu masuk ke dalam satu bilik di tingkat atas.

“Suspek kemudiannya memanggil salah seorang mangsa dalam bilik untuk menyerahkan kad pengenalan yang diambil bagi pemeriksaan sebelum mereka beredar.

“Selepas kesemua suspek beredar mangsa membuat pemeriksaan sebelum mendapati tujuh buah telefon bimbit miliknya serta rakan yang lain telah dilarikan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Polis merampas kereta Perodua Bezza yang digunakan tiga suspek tersebut untuk melakukan kegiatan jenayah.

Menurut Noorzainy, hasil siasatan mendapati  kesemua suspek menyasarkan individu bujang sebagai mangsa dengan alasan membuat pemeriksaan serta tangkapan kes khalwat.

Hasil soal siasat mendapati, ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis syabu itu mengaku terlibat dalam kes tersebut.

“Semakan turut mendapati suspek berusia 32 tahun memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua suspek berusia 28 tahun pula masing-masing miliki enam dan empat rekod.

“Dalam serbuan itu, kita merampas pelbagai barangan seperti beberapa buah telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza serta plastik yang tertera logo dan tulisan Polis Diraja Malaysia,” kata Noorzainy.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, orang ramai yang pernah menjadi mangsa kegiatan jenayah suspek diminta tampil membuat laporan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette