Al-Sultan Abdullah bersama-sama peserta dalam salah satu program AMG sebelum berlakunya wabak Covid-19 melanda negara.

CETUSAN idea untuk membantu aspek pendidikan generasi muda dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) lebih dua dekad lalu telah membuahkan hasil. Lebih 1000 pelajar yang mengikuti program berkenaan secara komprehensif berjaya melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

Program yang dimaksudkan ialah Akademi Menara Gading (AMG) yang dilaksana dan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kuantan, Pahang. Pada awalnya dikenali Yayasan Istana Abdulaziz yang ditubuhkan pada 1996.

Tokoh yang mencetus idea tersebut ialah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sempena ulang tahun hari keputeraan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 7 Jun lalu, patik mengambil kesempatan mengucapkan setinggi tahniah dan dirgahayu Kebawah Duli Tuanku berdua.

Sememangnya, Tuanku amat dikenali melalui penglibatan aktif dalam organisasi dan aktiviti sukan seperti bola sepak, hoki dan polo. Tunku Azizah pula dalam aktiviti kebajikan dan khidmat masyarakat. Namun, dengan AMG masyarakat khususnya di Pahang mengetahui penglibatan aktif baginda berdua dalam pembangunan pendidikan untuk golongan miskin sejak lebih 20 tahun lalu.

Berlandaskan slogan AMG, “Seorang graduan bagi keluarga miskin”, Sultan Abdullah dan Tunku Permaisuri mengharapkan peserta program tersebut menjadikan “role model” kepada keluarga, seterusnya mampu membawa mereka keluar daripada kemiskinan.

Sejak mulanya AMG, baginda berdua berterusan menyokong setiap aktiviti yang dilaksanakan dengan memberi idea dan kewangan serta meletakkan harapan tinggi kepada program tersebut. Menariknya, anak-anak baginda turut berinteraksi dengan peserta sebagai tanda sokongan dan keprihatinan baginda sekeluarga kepada para peserta AMG.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan diketuai Profesor Dato’ Dr Abdul Razaq Ahmad. Beliau diberi kepercayaan dan tanggungjawab sebagai Pengurus AMG oleh Tuanku untuk merealisasikan hasrat baginda.

Objektif utama program tersebut untuk memastikan semua peserta dapat mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seterusnya, menjejakkan kaki ke menara gading, dalam atau luar negara.

Dr Abdul Razaq menjelaskan bahawa program AMG merupakan satu-satunya dalam negara yang menggunakan pendekatan intervensi secara komprehensif berjangka panjang.

“Program ini bermatlamat melahirkan graduan dalam kalangan keluarga miskin, anak yatim dan orang Asli di Pahang. Akhirnya, setiap peserta mampu membantu keluarga mereka keluar daripada persekitaran kemiskinan,” katanya.

Untuk mencapainya, AMG melaksanakan pelbagai aktiviti menggunakan pendekatan “Multiple Integrated Intervension Modules” dalam tempoh dua tahun. Hal ini bertujuan meningkatkan motivasi, kemahiran insaniah, nilai-nilai keagamaan, patriotisme, kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Mereka juga berpeluang mengikuti program mobiliti dalam dan luar negara, selain AMG membimbing ibu bapa peserta dalam membantu kecemerlangan anak mereka.

Pelaksanaannya berdasarkan 12 modul kem yang dibimbing oleh ahli-ahli akademik dan profesional serta guru-guru pakar. Pendekatan dilaksanakan dalam dua bentuk komponen iaitu berdasarkan 10 modul “camp-based” dan dua “learning center-based”.

Menurut Dr Abdul Razak, program ini berbeza dengan kelas tuisyen sedia ada kerana pembelajarannya dilaksanakan lebih anjal dan mengambil waktu yang panjang bagi setiap subjek.

Apa yang menarik mengenai program AMG adalah, para peserta terdiri daripada pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta kurang keyakinan diri. Mereka dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dalam kalangan pelajar tingkatan empat. Mereka ditemu duga dan perlu mengikuti kem pemilihan sebelum dipilih sebagai peserta AMG.

Bagi meningkatkan kemahiran insaniah, motivasi dan keyakinan diri peserta, Akademi mengadakan program mobiliti ke beberapa negara seperti Jepun, Korea, Indonesia dan Thailand yang memberi impak positif kepada mereka.

Benarlah kata Peribahasa Melayu, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Sejak AMG diperkenal, sebanyak 10 kohort telah dilaksanakan dan 1005 peserta berjaya memasuki universiti atau IPT tempatan termasuk Universiti Sains Islam Malaysia. Ramai mendapat tawaran belajar di luar negara.

Para peserta dari kohot 1 hingga 7 telah bergraduat dan bekerja di sektor awam dan swasta khususnya dalam bidang profesional seperti perubatan, perakaunan, perundangan, kejuruteraan, pengurusan, pentadbiran serta pendidikan selain menceburi bidang keusahawanan. Sementara peserta kohot 8 hingga 10 masih menuntut di IPT, kata Dr Abdul Razaq.

Sebanyak 120 peserta bagi kohort ke-11 sesi 2020/2022 sedang mengikuti program ini di Kuantan. Walaupun, wabak Covid-19 sedang melanda negara, namun para peserta bersemangat mengikut sesi yang diadakan khususnya pada Sabtu dan Ahad tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa erta mematuhi SOP yang ditetapkan. Program dilaksanakan secara dalam talian dengan bimbingan guru-guru pakar. Mereka juga dikehendaki mengulang kaji pelajaran selama lima jam sehari.

Mulai tahun ini, AMG dilaksanakan di Akademi YASA-Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Kompleks ini menyediakan pelbagai kemudahan kondusif kepada peserta termasuk perpustakaan, penginapan, bilik kuliah, dewan dan padang serbaguna.

Bagi mewujudkan kesinambungan, AMG menubuhkan alumninya sebagai platform kepada bekas peserta untuk menyumbang kembali kepada pembangunan pendidikan “adik-adik” mereka dalam kalangan B40 di Pahang.

Selain program berbentuk Pendidikan, akademi ini akan melancarkan buku kesembilannya, Aspirasi Menara Gading yang bakal disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong. Aktiviti penyelidikan turut dijalankan oleh ahli-ahli akademik UKM dan dapatan kajian itu digunakan untuk menambah baik program AMG.

Berdasarkan hasil yang positif, program seumpama ini wajar dikembangkan ke seluruh negara supaya dapat memberi peluang kepada kalangan pelajar kalangan keluarga B40. Dengan demikian, membantu pelajar berjaya dalam akademik dan membawa keluarga masing-masing keluar dari garis kemiskinan.

Oleh: Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan),
Universiti Sains Islam Malaysia dan
Ahli Jawatankuasa AMG, Yayasan Al-Sultan Abdullah.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast