Dr Sathia Prakash Nadarajan.

KUALA LUMPUR – Seorang anak posmen yang kehidupannya cukup sederhana tidak pernah menghalangnya mencapai kejayaan luar biasa dalam hidup.

Itulah yang boleh digambarkan apabila penulis bertemu dengan pemilik tunggal SPCare Group, Dr Sathia Prakash Nadarajan – anak jati Rawang yang datang dari keluarga biasa namun mencipta kejayaan dalam kehidupannya.

Malah anak jati Rawang itu juga berbakti di kawasan kelahirannya dengan menyediakan beberapa cawangan klinik termasuk di Hulu Selangor dan Gombak.

Malah klinik SP Care  sudah ada di merata-rata tempat kerana sudah ada 13 cawangan di seluruh negara dalam tempoh 11 tahun ini.

Beliau juga mempunyai lebih 150 pekerja dalam pelbagai jawatan.

Malah Dr Sathia juga memiliki klinik di luar negara seperti India dan Rusia – tempat beliau menimba ilmu sehingga bergelar doktor.

Menurutnya, kebanyakan klinik cawangan dibuka atas permintaan dari para pesakitnya yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan untuk ke klinik beliau yang dimulakan sekitar tahun 2009.

Rata-rata pesakitnya dan malah pekerjanya juga datangnya dari tempat kelahiran dan membesarnya, Rawang.

Menceritakan pengalaman, beliau berkata, kemiskinan dan kesusahan hidup tidak pernah sesekali menjadi halangan untuk seseorang berjaya dalam hidup.

Berwajah manis dengan senyuman tidak lekang di bibir selain begitu akrab dengan pekerjanya tidak kira apa jua posisi, Dr Sathia juga menjadi doktor kegemaran kepada pesakitnya.

“Terus terang saya katakan, apa yang anda lihat hari ini adalah usaha keras dan doa ibu dan ayah saya (Nadarajan). Saya ini Rawang Boy yang ketika itu tidak maju seperti anda lihat hari ini. Ibu saya (Vamsela Devi) seorang suri rumah.

“Ayah saya juga seorang posmen dan kami semua bergantung hidup dengan gaji beliau tetapi ayah dan ibu adalah dua insan penting yang sentiasa mementingkan pendidikan dalam diri saya dan adik saya.

“Malah dengan gaji kecil itu yang digunakan untuk menyara kami dan tidak pernah patah semangat memastikan saya dan adik memiliki taraf pendidikan tinggi, saya di hantar ke Rusia sambung belajar bidang perubatan menggunakan hasil simpanan selain membuat pinjaman serta terpaksa gadai rumah.

“Impian dan hasrat beliau memastikan saya berjaya, pastinya pengorbanan tidak terkata itu menjadi tanda aras kepada saya untuk memastikan kejayaan itu dalam genggaman walaupun begitu banyak rintangan telah saya hadapi,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Beliau menamatkan pengajian awal perubatan di Kursk State Medical University sebelum menyambung pendidikan perubatan di Crimea State Medical University dan menggengam ijazah perubatan pada tahun 2002.

“Kemudian saya sambung pengajian dalam bidang Traumatologi dan Ortopedik di Rusia sekaligus menjadi rakyat Malaysia pertama yang mendaftar bidang itu dan kini ramai ikut jejak saya pada masa itu lagi sebenarnya.

“Ketika saya di Russia, untuk membayar yuran pengajian saya akan sedaya upaya membayarnya menggunakan wang hasil kerja sambilan, saya sebenarnya mempunyai minat berniaga dan minat itulah yang saya guna untuk sentiasa tidak membebankan keluarga.

“Malah apabila saya mendapat tahu seandainya saya teruskan pengajian dalam medium Rusia dan bukan Inggeris, yurannya jauh lebih rendah. Jadi, saya belajar bahasa mereka. Kehidupan sebagai pelajar memang sukar tapi saya sedaya upaya meneruskan kehidupan dengan cara paling sederhana dan berjimat cermat.

“Pernahkah anda dengar makan roti cicah dengan air Coke? Ada kalanya itu juga makanan rutin saya kerana hendak berjimat juga. Pada usia muda sudah menyesuaikan diri di Hospital Rusia namun ibu bapa minta saya pulang bekerja di Malaysia,” katanya lagi.

Dr Sathia pulang ke negara ini pada tahun 2003 dan bekerja di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima tahun sebelum ke Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM).

Beliau kemudian pula ditawarkan jawatan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang terlibat dengan pembuatan vaksin halal.

Bagaimanapun, kata Dr Sathia, perasaannya kembali membuak-buak untuk kembali ke Rawang dan dan berkhidmat di kawasan kampungnya sendiri.

“Ini bandar kecil, pekan kecil. Masing-masing kenal mengenali dan selalunya mereka semua ini akan datang jumpa untuk nasihat serta bantuan perubatan.

“Insiden-insiden seperti inilah yang menyebabkan saya sentiasa dekat dengan penduduk setempat,” ujarnya lagi.

Sebelum memiliki 13 cawangan klinik SPCare beliau memulakannya dengan membuka klinik sendiri dan menempuh pelbagai halangan termasuk faktor kewangan sejak 11 tahun lalu.

“Ada kalanya saya tidur, makan dan bekerja bukan sahaja 24 jam sehari tetapi untuk hampir tiga tahun, hidup saya hanya di klinik ini sebelum cawangan-cawangan mula di buka satu persatu.

“Bila fikir kembali, ianya perjalanan sukar sekali tetapi pada masa sama saya bukan lahir untuk bekerja separuh jalan, semangat juang dalam diri saya sangat kuat sebenarnya mungkin latar belakang keluarga saya begitu.

“Apa yang hendak sekeliling anda ini semuanya adalah hasil titik peluh, penderitaan dan juga keinginan serta impian ibu bapa saya. Malah sejak kecil lagi saya sendiri begitu aktif di sekolah seawal tadika lagi sehingga ke sekolah menengah saya adalah ketua pengawas.

“Rasa tanggungjawab itu sememangnya tebal dalam diri, apa sahaja yang saya lakukan itu hakikatnya mempunyai perasaan mendalam tentang kesusahan hidup bukan sahaja ketika saya membesar tetapi kehidupan rakyat yang saya jumpa hari-hari.

“Semua yang saya lakukan ini mempunyai makna cukup mendalam sebenarnya, ada banyak lagi kerja dan tanggungjawab saya kepada masyarakat yang perlu saya lakukan, kepuasan memiliki kemewahan tidak terkata tidak sesekali menyebabkan saya lupa diri atau asal usul,” ujarnya.

Dr Sathia juga banyak mengikut misi kemanusian secara sukarelawan ke negara bergolak termasuklah Gaza beberapa kali, Myanmar, bencana alam di Filipina dan gempa bumi di Nepal.

Untuk makluman, SPCare Clinics  beroperasi 24 jam dengan memiliki kemudahan-kemudahan serta teknologi perubatan canggih seperti sebuah hospital bagi memudahkan kira-kira 1,000 pelanggan tetapnya.

Dalam musim pandemik Covid-19, beliau dan SPCare juga menghulurkan bantuan kepada kerajaan dengan menjadikan kliniknya sebagai pusat pemberian vaksin swasta yang telah memulakan vaksinasi sejak Isnin lepas.

SPCare juga menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 secara pandu lalu dan mengikut SOP ketat.

“Ini adalah pandemik, negara saya memerlukan khidmat dan klinik saya, penduduk setempat sendiri memerlukan dan kami ada bagi memastikan kesihatan mereka sentiasa terjaga,” ujarnya. -MalaysiaGazette