Seorang kanak-kanak diberi ubat polio di Barangay PNR Purok 7, Taguig, Filipina. foto UNICEF

MANILA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memuji Filipina yang berjaya menamatkan wabak polio dalam masa hampir dua tahun.

Dalam satu kenyataan bersama, agensi PBB itu berkata, Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) secara rasmi menghentikan tindak balas wabak polio pada 3 Jun lalu.

“Keputusan itu diambil selepas virus itu tidak dapat dikesan dalam kalangan kanak-kanak atau sekitarnya dalam tempoh 16 bulan lalu,” katanya.

Agensi tersebut mengatakan tindakan tindak balas wabak yang komprehensif termasuk aktiviti imunisasi dan pengawasan yang dipergiatkan di kawasan yang terjejas berjaya mengekang penyebaran virus polio.

DOH mengumumkan wabak polio di Filipina pada 19 September 2019 setelah 19 tahun berstatus bebas polio.

Sejak itu, Kerajaan Filipina dan WHO, UNICEF dan rakan-rakan lain mengadakan kempen polio di seluruh negara untuk menghentikan penyebaran virus.

Walaupun terdapat banyak cabaran untuk imunisasi yang dihadapi akibat penularan Covid-19 secara serentak, DOH telah meneruskan kempen imunisasi polio dengan giat.

WHO berkata, penyakit ini masih endemik di dua negara iaitu Afghanistan dan Pakistan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast