Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim bercakap pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket dadah jenis Heroin Base membabitkan warga tempatan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Stor simpanan peralatan logistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini yang terbakar tengah malam tadi tidak melibatkan barang kes.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, stor berkenaan hanya digunakan untuk menyimpan barang-barang lama yang sedang dalam proses pelupusan.

“Barang-barang seperti kerusi dan meja serta ada juga barang-barang untuk penyelenggaraan tanaman di sekitar kawasan IPD seperti baja turut disimpan di dalam stor berkenaan.

“Sekarang ini satu siasatan telah dimulakan untuk mengetahui punca kejadian dan kita juga akan dapatkan analisa daripada pihak bomba yang memadamkan kebakaran.

“Bomba mengambil masa yang singkat untuk memadamkan kebakaran yang berlaku,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu media melaporkan stor logistik IPD Sentul, dua motosikal dan bot fiber terbakar dalam satu kejadian malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.57 malam.

Kejadian tidak membabitkan mangsa dan kemusnahan kebakaran dianggarkan kira-kira 70 peratus. – MalaysiaGazette