Kenderaan yang membawa Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berjalan keluar selepas selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu pertemuan khas bersama pemimpin utama parti politik di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sesi perjumpaan khas bersama Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Negara pada hari ini hanya melibatkan tiga pemimpin utama parti politik.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili merupakan pemimpin politik yang terakhir menghadap YDPA hari ini berbanding sesi sama pada Rabu dan Khamis lalu, masing-masing empat individu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kelihatan menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna hitam tiba di Pintu 2, Istana Negara pada jam 2.18 petang.

Bagaimanapun beliau kelihatan meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 3.23 petang tadi.

Pemimpin Sabah itu tidak memberhentikan kenderaannya mahupun melambai ke arah petugas media yang menunggu kepulangan beliau pada petang ini.

Pada awal pagi tadi, sesi perjumpaan khas itu dihadiri Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang tiba di Pintu 2, Istana Negara, kira-kira jam 10 pagi.

Vigneswaran kelihatan menaiki kenderaan jenis Mercedes-Benz berwarna putih bercermin gelap.

Beliau kemudian beredar dari Istana Negara pada jam 11.15 pagi selepas sejam pertemuan berlangsung.

Vigneswaran turut tidak memberhentikan mahukan membuka tingkap keretanya bagi memberi peluang kepada petugas media merakam gambar selepas selesai pertemuan empat mata bersama YDPA.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di Istana Negara pada jam 9.54 pagi mendahului sesi perjumpaan khas bersama YDPA pada hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu yang menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna perak sempat membuka tingkap dan melambai ke arah petugas media sebelum berlalu pergi ke Istana Negara.

Sesi perjumpaan khas itu yang bermula sejak Rabu lalu membabitkan 11 pemimpin utama parti politik daripada kerajaan dan pembangkang. – MalaysiaGazette