The High Court dismissed the request of Simpang Jeram Assemblyman and Pulai MP Salahuddin Ayub (Amanah), Gurun Assemblyman and Sungai Petani MP Johari Abdul (PKR) and Tebing Tinggi Assemblyman Abdul Aziz Bari (DAP), who challenged the proclamation of emergency through a judicial review.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permohonan Mohd Puad Zarkashi untuk mengetepikan perintah injunksi interim diperoleh Muhyiddin Yassin yang menghalang ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu daripada menerbitkan semula kenyataan yang didakwa memfitnah berhubung perintah kuarantin melibatkan Perdana Menteri di laman Facebooknya (Puad), didengar 26 Julai ini.

Semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril turut menetapkan hari sama untuk mendengar permohonan Muhyiddin bagi perintah injunksi inter-parte (antara pihak) yang diperoleh perdana menteri itu secara “ex-parte” (sebelah pihak) pada 1 Mac lepas bagi menghalang Mohd Puad daripada membuat sebarang kenyataan sementara menunggu pendengaran inter-parte.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin ketika dihubungi pemberita berkata, pendengaran kedua-dua permohonan itu sepatutnya berlangsung hari ini secara fizikal, namun ditangguhkan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun ini.

“Sehubungan itu, mahkamah melanjutkan injunksi ad interim yang diperoleh plaintif (Muhyiddin) sebelum ini sementara menunggu perbicaraan injunksi inter-parte dan permohonan defendan (Puad) untuk pembatalan injunksi tersebut pada 26 Julai dengan terma yang sama dengan perintah injunksi interim ex-parte,” katanya.

Peguam Shahrul Fazli Kamaruzaman yang mewakili Puad ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

Injunksi ad interim berfungsi untuk melindungi sementara plaintif yang memfail tuntutan dengan mengekalkan status quo.

Dalam permohonan “ex-parte” yang difailkan bersama writ saman, Muhyiddin memohon injunksi interim bagi menghalang Mohd Puad, atau ejennya, wakilnya atau sesiapa jua daripada menerbitkan semula, menyiarkan semula dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara di laman Facebook milik Mohd Puad.

Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan hantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi serta nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.

Sementara itu, dalam writ saman yang difailkan atas kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada pada 9 Februari lepas, Mohd Puad menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama “Dr Puad Zarkashi” bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Muhyiddin mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Muhyiddin turut mendakwa hantaran itu merujuk kepada “PM” iaitu singkatan kepada perdana menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi pernyataan yang jelas sekali tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta telah memfitnahnya.

Muhyiddin mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia sedangkan mereka semua sedang menjalani kuarantin pada masa tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast