Polis menahan tiga pelajar lelaki tingkatan tiga selepas terlibat dalam kejadian memukul dan membuli dua pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini, semalam.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) merekodkan pencapaian cemerlang apabila 8,095 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 53 buah sekolahnya mendapat 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

Daripada jumlah tersebut seramai 1,098 orang calon telah berjaya memperoleh semua A (A+, A dan A-) termasuk 22 orang calon mendapat semua A+.

Lebih membanggakan apabila seramai 456 orang pelajar di bawah program BUDI MARA (Bantuan untuk Pendidikan di bawah kategori B40) telah lulus cemerlang manakala 12 orang daripadanya berjaya memperolehi semua A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pencapaian ini menunjukkan sistem pendidikan MRSM telah berjaya membuka peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan terbaik di MRSM.

”Ini adalah kejayaan yang sangat membanggakan, apabila pelajar BUDI adalah antara pelajar yang cemerlang dalam SPM 2020.

”Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) telah memberi ruang dan peluang kepada pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) mendapat pendidikan berkualiti sekali gus membuka peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke institusi terbaik di peringkat tertiari,” katanya.

Azizah berkata, MARA akan terus membuka peluang kepada anak-anak pelajar B40 mengikuti sistem pendidikan di MRSM dan menyediakan bantuan kewangan agar faktor ekonomi tidak menjadi penghalang untuk mereka berjaya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pencapaian subjek STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dalam SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan, yang mana Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Reka adalah lebih baik berbanding tahun lepas.

Peningkatan pencapaian dalam subjek STEM ini selari dengan fokus MARA dan matlamat penubuhan MRSM untuk melahirkan pelajar bumiputera yang berpotensi tinggi dalam bidang STEM.

Beliau turut menyeru kepada pelajar lepasan SPM yang cemerlang untuk mendapatkan peluang penajaan yang disediakan MARA untuk menyambung pengajian di dalam dan luar negara.

”MARA sentiasa komited membantu golongan Bumiputera untuk mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti dengan memberi peluang terutamanya daripada golongan pelajar B40 mengikuti pengajian ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar, guru dan ibu
bapa yang sentiasa memberi sokongan demi kejayaan anak-anak masing-masing. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPM 2020 catat pencapaian lebih baik dalam tempoh 5 tahun – Radzi