Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad agar Majlis Gerakan Negara (Mageran) diwujudkan untuk mengambil alih sementara urusan pentadbiran kerajaan adalah langkah ke belakang.

Ia juga dilihat akan mewujudkan pemerintahan diktator selain dilihat cadangan lapuk dan bakal merosakkan lagi demokrasi di negara ini.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, tidak ada keperluan untuk melaksanakan semula Mageran kerana krisis wabak dan ekonomi boleh ditangani bersama melalui perbincangan dalam Parlimen.

Beliau turut menyifatkan Mahathir tidak malu apabila menawarkan diri mempengerusikan Mageran yang dilihat sebagai jalan pintas untuk bekas Perdana Menteri itu kembali berkuasa buat kali ketiga.

Ini kerana, jawatan Pengerusi Mageran mempunyai kuasa eksekutif penuh memimpin negara.

”Jika di bawah Parlimen beliau boleh bertindak seperti diktator, tidak dapat dibayangkan jika beliau mempengerusikan Mageran,” katanya.

Razeef Rakimin

Ini kerana, cadangan itu dibuat oleh Mahathir sehari selepas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Marzuki Mohamad menyatakan ada pihak mencadangkan pelaksanaan Mageran.

”Adakah Mahathir berhubung dengan Mahiaddin (Perdana Menteri) untuk mencadangkan pelaksanaan Mageran? ‘Mengikut sejarah Mageran yang dilaksanakan pada 1963 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

”Adakah Mahathir cuba meletakkan menteri kanan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di tampuk kekuasaan ala diktator bagi menghalang Pakatan Harapan untuk menyelamatkan negara?,” soalnya.

Beliau seterusnya membuat kesimpulan cadangan pelaksanaan Mageran hanya memberi kelebihan politik dan kuasa kepada individu tertentu tetapi tidak dalam memulihkan krisis yang dihadapi negara hari ini.

Lantaran itu, AMK Sabah mendesak Parlimen dibuka semula agar semak imbang pentadbiran berlaku terutama dalam menguruskan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.