Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu pertemuan khas bersama pemimpin utama parti politik di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Perjumpaan khas bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak membincangkan mengenai cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Perkara itu diakui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mendapat perkenan menghadap YDPA di Istana Negara, sejak awal pagi tadi.

“Kita tidak bincangkan soal itu (Mageran). Saya mengatakan bahawa perkara itu bukan sesuatu keadaan normal yang di luar daripada apa dia ada kerana darurat patutnya mencakupi soal-soal itu,” katanya kepada pemberita di luar Pintu 2, Istana Negara hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi cadangan menubuhkan Mageran ketika menghadap YDPA dalam sesi perjumpaan sama di sini semalam.

BACA: Pejuang cadang kepada Agong supaya tubuh Mageran

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu Ahmad Zahid yang menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna perak masuk menghadap YDPA di Istana Negara kira-kira jam 9.54 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau beredar selepas selesai perjumpaan hampir sejam itu kira-kira pukul 11 pagi tadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Giliran Zahid pula menghadap Agong