Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melambai tangan ketika tiba untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu pertemuan khas bersama pemimpin utama parti politik di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sesi perjumpaan khas bersama Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini diteruskan lagi.

Kali ini, ia membabitkan pemimpin utama UMNO.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelihatan tiba di Pintu 2 Istana Negara kira-kira jam 9.54 pagi tadi.

Ahli Parlimen Bagan Datoh yang menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna perak sempat membuka tingkap kereta dan melambai ke arah petugas media.

Sesi perjumpaan khas pemimpin utama parti politik bersama YDPA telah berlangsung sejak Rabu lalu melibatkan lapan parti kerajaan dan pembangkang.

Pada sesi perjumpaan semalam, seramai empat individu telah menghadap YDPA, antaranya Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie kelihatan menaiki kenderaan jenis Range Rover berwarna hitam memasuki Istana Negara melalui Pintu 2, Changkat Semantan, kira-kira jam 3.10 petang semalam.

Bagaimanapun selepas sejam pertemuan itu, Mohd Shafie terus beredar meninggalkan Istana Negara tanpa menyapa para petugas media kira-kira jam 4.20 petang.

Sebelum itu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mendapat perkenan menghadap YDPA, yang dilihat menaiki kenderaan jenis Proton X70 berwarna kelabu tiba di Istana Negara, kira-kira 1.58 petang semalam.

Dua lagi pemimpin yang masuk menghadap YDPA semalam ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada sesi perjumpaan bermula Rabu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului senarai pemimpin.

Ini disusuli dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu. – MalaysiaGazette