Yusfarizal Yussoff

KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah menganggap proses kehakiman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu konspirasi atau pendakwaan terpilih.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, pendirian itu berbeza dengan naratif konspirasi yang pernah kedengaran pada 1998.

“Dalam kes SRC dan 1MDB, Pas tidak pernah mengatakan bahawa proses kehakiman terhadap Najib adalah satu konspirasi atau pertuduhan terpilih sebagaimana laungan konspirasi yang pernah kita dengar pada tahun 1998.

“Yang bersalah tetap bersalah,” katanya.

Beliau berkata, proses kehakiman dan kuasa pengampunan merupakan dua perkara berbeza yang tidak sepatutnya dicampuradukkan.

Menurutnya, seseorang yang telah didapati bersalah sudah melalui proses undang-undang dan disabitkan oleh mahkamah, manakala pengampunan pula merupakan kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Pengampunan bukanlah rayuan kehakiman. Ia bukan perbicaraan semula. Ia bukan mekanisme untuk mengatakan bahawa kesalahan itu tidak berlaku.

“Pertimbangannya ialah soal ihsan, belas kasihan dan faktor-faktor lain yang relevan dalam pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya.

Yusfarizal berkata, pendirian Pas menghormati dapatan mahkamah tidak bermakna parti itu menolak kewujudan kuasa pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan.

“Persoalan kesalahan ialah persoalan kehakiman.

“Persoalan pengampunan ialah persoalan kuasa pengampunan di bawah Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas persoalan Ahli CEC DAP, Syeikh Umar Bagharib Ali yang mempersoalkan pendirian Pas dalam soal keadilan, akauntabiliti dan pertanggungjawaban terhadap wang rakyat.

Yusfarizal menegaskan, pengampunan juga tidak bermaksud sabitan mahkamah terbatal atau seseorang yang bersalah secara automatik dianggap tidak bersalah.

“Pas tidak mempertikaikan prinsip bahawa wang rakyat mesti dipertanggungjawabkan.

“Pas juga tidak mengatakan bahawa sabitan yang telah diputuskan oleh mahkamah tidak perlu dihormati.

“Tetapi kita juga mesti menghormati Perlembagaan.

“Pengampunan bukan penghakiman.

“Dan pengampunan tidak mengubah orang yang bersalah menjadi tidak bersalah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here