Masih ramai individu gagal mematuhi SOP PKP ditahan dan dikenakan kompaun serta direman.

KUALA LUMPUR – Task Force Operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, menahan 887 individu atas pelbagai kesalahan ingkar SOP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 849 individu dikenakan kompaun, manakala 39 lagi direman.

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis merekodkan 165 kesalahan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis, 159 individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, 146 orang tidak memakai pelitup muka.

Kesalahan lain yang direkodkan semalam ialah tiada penjarakan fizikal seramai 144 individu, membawa penumpang berlebihan (103), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (57), aktiviti pusat hiburan (15), premis gagal patuhi arahan (15) dan lain-lain kesalahan 83 kes.

Ismail Sabri Yaakob

“Operasi semalam turut melibatkan 4,555 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 20,817 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, dalam Operasi Benteng itu, pihak berkuasa merampas tiga kenderaan darat, manakala sebanyak 151 bot atau kapal dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

Katanya, semalam juga seramai 868 individu tiba di pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 224,626 individu telah pulang ke tanah air dan semua mereka ditempatkan di 76 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

“Daripada jumlah itu, 8,464 individu telah dikuarantin dan 213,528 orang dibenarkan pulang, manakala 2,634 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast