PUTRAJAYA – Negara menyaksikan kes sembuh baharu harian tertinggi sebanyak 8,334 hari ini.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh dalam negara setakat ini  sebanyak 572,113.

Ia merupakan hari kedua berturut-turut negara mencatatkan bilangan kes sembuh harian tertinggi negara selepas 7,749 dilaporkan semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif harian jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu adalah sebanyak 5,793 kes.

Daripada jumlah itu, enam kes merupakan kes import membabitkan empat warga tempatan dan dua warga asing.

Jumlah tersebut menyaksikan penyusutan sebanyak 1,056 kes berbanding 6,849 kes yang direkodkan semalam.

Dengan jumlah terkini itu, angka kumulatif kes jangkitan bertambah kepada 652,204 kes.

Menurut beliau, sebanyak 5,787 kes adalah tempatan iaitu pecahan 936 daripadanya adalah warga asing.

Meskipun jumlah jangkitan berkurangan tetapi bilangan pesakit yang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) masih tinggi iaitu 914 kes manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan pula 459 kes.

Sebanyak 76 kes kematian dilaporkan dalam tempoh itu menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,844.

Selangor masih lagi penyumbang tertinggi jangkitan kes hari ini iaitu 1,582 kes tetapi turun sebanyak 976 kes berbanding 2,558 semalam.

Negeri Sembilan pula merekodkan kes harian kedua tertinggi iaitu 618 kes berbanding 685 kes semalam.

Kuala Lumpur mencatatkan 559 kes berbanding lebih 800 kes semalam.

Manakala kes jangkitan di Perlis naik tiga berbanding semalam kepada lapan kes hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif pula sebanyak 76,247 kes. – MalaysiaGazette