Purata kes aktif Covid-19 menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus sehingga 20 November lalu bersamaan [Minggu Epidemiologi (ME) ke-46.- Gambar hiasan.

MALAYSIA berada dalam keadaan yang begitu sukar. Rakyat tersudut di kedudukan yang
amat sukar dan perit menghadapi hari-hari mendatang dengan kesan pandemik,
kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik. Rakyat amat-amat mendambakan
permasalahan pandemik dan ekonomi ditangani secara baik dan kembali pulih segera
tanpa mempedulikan siapa yang memerintah negara.

Tambah membimbangkan generasi pewaris negara berada dalam keadaan yang
merungsingkan dengan keadaan masa depan mereka yang kelam. Banyak laporan
antarabangsa termasuk World Bank menyebutkan bahawa kita berhadapan dengan
situasi ‘generasi yang hilang’ atau lost generation.

Lihatlah ke mana nasib adik-adik dan anak-anak kita di sekolah khususnya yang baru
masuk alam persekolahan dan di pra-sekolah yang bergelut dengan keadaan
pembelajaran yang sukar. Begitu juga yang kehilangan motivasi, masalah kefahaman
dan pelbagai lagi masalah pembelajaran daripada sekolah rendah sehingga ke institut
pengajian tinggi dan kemahiran yang menyebabkan kita akan kehilangan satu generasi
pewaris.

Setakat ini, menurut Dr. Anuar Ahmad, pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dalam salah satu temuramah beliau di Awani, masih tiada kajian
impak terhadap kesan Covid-19 kepada pembelajaran pelajar di sekolah sedangkan
kita memerlukan data di akar umbi untuk menangani kesenjangan pendidikan secara
berkesan.

Dr. Nazrul dan Dr. Nurul (2021) melaporkan keadaan kesihatan mental yang membimbangkan dalam kalangan generasi muda dalam makalah ilmiah mereka  bertajuk The Fear of Covid-19 among Malaysian Youths. Tulisan ini melaporkan bahawa, “The people’s anxiety worsened when they saw the case figures, especially the death cases displayed by the media”.

Tulisan berdasarkan kajian ini juga merumuskan bahawa pandemik Covid-19 mencetuskan ketakutan dan kegusaran kepada rakyat dan belia Malaysia khususnya apabila melihat kenaikan angka pesakit dan angka kematian setiap hari. Pelajar berasa tertekan dan anxiety disebabkan kesempitan kewangan, kaedah pembelajaran yang sukar, ketidakpastian pencapaian akademik dan kerjaya masa depan.

Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Program Kemahiran Insaniah (PROKENS) mengesahkan bahawa kebanyakan belia yang dilatih dalam program kebolehpasaran
belia ini bimbang akan kerjaya dan masa depan mereka disebabkan Covid-19. Kesemua ini perlu diberikan perhatian dan memerlukan tindakan tuntas. Harapan dan jalan keluar harus ditunjukkan segera kepada mereka selain menyuntik daya tahan dan daya juang untuk bangkit.

Covid-19 menyebabkan kemelesetan sosial atau social recession sehingga dikhuatiri
menyebabkan lebih ramai belia yang hilang harapan, membunuh diri, keluarga muda
bercerai dan peningkatan keganasan rumahtangga. Dengan kes yang kekal meningkat, Covid-19 juga tidak mengenal usia, mula meragut nyawa kanak-kanak dan anak muda dan ini menambah lagi anxiety.

Kelihatannya Malaysia kehilangan aset dan bakat muda dalam segenap sudut. Covid-19 meragut banyak impian anak muda meneruskan kerjaya, pembelajaran dan kesejahteraan kehidupan. Generasi yang hilang perlukan harapan baharu bagi
menghidupkan impian dan masa depan mereka.

Kegawatan ini memerlukan tindakan bersepadu. Dalam konteks politik, ia memerlukan kolaborasi dwi-partisan bahkan cross-partisan. Parlimen harus bersidang sama-ada secara fizikal mahupun hybrid bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian tuntas demi rakyat dan masa depan pewaris negara ini.

Peguam Salleh Buang menyebut dalam ruangan pojoknya di NST ketika mengulas implementasi persidangan hybrid oleh Parlimen Kanada: “The lesson for us is that while Canada took just a few months to implement a hybrid session of its House of Commons, we took a much longer time to proceed along that direction. Nevertheless, better late than never”.

Masih belum terlambat, lupakan seketika perbezaan walaupun diakui tidak mudah
bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan sistem kesihatan. Kebimbangan rakyat adalah jangan ulangi Parlimen sebagai tempat bercakaran (sekurang-kurangnya buat seketika) yang akan menyumbang kepada defisit kepercayaan anak muda kepada sistem demokrasi negara.

Jiwa besar ini pastinya akan diingati oleh generasi muda kerana jika perkara ini benar-benar berlaku, kalian akan dikenang dalam lipatan sejarah kerana menyalakan obor harapan kepada the lost generation ini untuk keluar dari lubuk kelemasan dan
terowong kegelapan. Bantulah mereka! ‘

MBM yakin Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang akan membuat keputusan berhikmah,
saksana dan bijak selepas pertemuan dengan ketua-ketua parti tanahair demi masa
depan Negara. Malaysia perlukan solidariti semua, whole government, whole
opposition, whole society and whole youth untuk keluar daripada tribulasi besar ini.

Oleh: Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia