Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri mengenai ada ura-ura penubuhan semula Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah menggusarkan rakyat.

Ini kerana, Mageran mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara sepertimana yang dilaksanakan semasa proklamasi darurat tahun 1969 dahulu.

Lebih membimbangkan apabila dalang di sebalik cadangan ini adalah daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat, Farhash Wafa Salvador berkata, Dr Mahathir seolah-olah tidak serik dan jauh daripada nasihat beliau sendiri untuk berhenti makan sebelum kenyang.

Beliau mengingatkan negara ini pernah merekodkan kes baharu satu digit, namun akibat permainan politik Kerajaan Pusat telah memaksa negeri Sabah untuk mengadakan pilihan raya negeri setelah Dewan Negeri dibubarkan.

Ketua Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal mahu rakyat diberikan mandat untuk menentukan siapa yang layak membentuk kerajaan negeri yang baharu.

”Keputusan yang tidak melulu ini bagaikan mengikut jejak langkah mentornya Dr Mahathir ketika meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 apabila lebih rela menjatuhkan kerajaan bersama daripada memberikan tanggungjawab kepada mereka yang berhak.

”Harus ditekankan di sini bahawa kluster kes Covid-19 dalam negara mula melonjak selepas insiden ‘langkah Sheraton’ sejurus selepas Dr Mahathir meletak jawatan dan kemudiannya Kluster PRN Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Soalnya, adakah pemimpin sebegini yang masih mahu diangkat oleh Ahli Parlimen lain sebagai calon Perdana Menteri.

Tegas Farhash, rakyat tidak sanggup diperbodohkan lagi dan hanya mahukan satu pengurusan pentadbiran negara yang telus dan cekap, justeru memohon kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi Malaysia daripada ahli-ahli politik sendiri.

Tambahan pula lebih banyak spekulasi akan nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa bakal diganti oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalannya.

Farhash berkata, pada masa ini rakyat hanya mahukan satu kerajaan yang mampu membela kedaulatan dan kesejahteraan mereka.

”Negara kita baru-baru ini menerima ancaman dari negara China apabila kawasan udara dan perairan telah dicerobohi seolah-olah ‘mengacah’ kedaulatan kita. Mungkinkah apabila Hishamuddin memanggil negara Cina sebagai ‘big brother’ atau abang long secara tidak langsung memberikan ruang untuk Malaysia diperlekehkan.

”Hubungan diplomatik harus dipelihara namun ketegasan dalam menjaga kedaulatan negara tidak harus dikompromi,” katanya.

Jelas beliau, masalah utama negara ini adalah mempunyai barisan menteri Perikatan Nasional termasuklah lantikan politik kerajaan yang tidak memiliki merit.
Maruah mereka kini terletak pada tandatangan akuan bersumpah yang dijaja nilainya sehingga ada yang melacurkan diri lebih daripada satu akuan.

”Tidak perlu kita menubuhkan Mageran untuk memastikan negara dapat diurus tadbir dengan baik. Sekiranya itu berlaku ia hanya demi kepentingan beberapa individu dan membelakangkan proses demokrasi,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.