Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim 1442 Hijrah berikutan keputusan  Arab Saudi hanya membenarkan warganegaranya dan penduduk negara lain yang telah berada di dalam negara itu sahaja menunaikan ibadat itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ,Malaysia akur serta menghormati keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi.

Katanya, beliau telah dihubungi sendiri Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat hari ini yang memaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Arab Saudi.

Dr Zulkifli dalam satu kenyataan turut memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah Haji pada tahun ini.

Katanya, keputusan itu sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi umat Islam di negara ini tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Khadimul Haramain Raja Salman bin Abdulaziz dan Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Malaysia.

Katanya, beliau akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah Haji bagi Musim Haji 1442 Hijrah diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji.

Arab Saudi hari ini mengumumkan Ibadah haji bagi tahun ini hanya akan melibatkan jemaah dari dalam Arab Saudi sahaja susulan keadaan semasa pandemik Covid-19 dan kemunculan varian baharu.

Laman Twitter Haramain Info memaklumkan, jumlah jemaah haji tahun ini dihadkan kepada 60,000 orang sahaja. – MalaysiaGazette