Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR – Lebih 4,200 ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan membenarkan lanjutan operasi restoran dari jam 6 pagi hingga 10 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ini bagi membolehkan ahli persatuan itu yang mengusahakan kira-kira 12,500 restoran di seluruh negara kembali pulih susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pendapatan harian merosot 80 peratus.

Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, mereka berharap lanjutan tempoh PKP penuh itu bukan sahaja membantu peniaga, malah pelanggan yang turut berdepan kesukaran mendapatkan makanan pada waktu operasi jam 8 pagi hingga 8 malam seperti sekarang.

Selain itu, katanya, Presma tidak ada sebarang masalah dengan penjualan dan pembelian secara bungkus kerana ia adalah langkah perlu bagi menghalang jangkitan Covid-19.

“Pada masa ini, Presma masih menunggu perkembangan mengenai moratorium automatik, subsidi sewa serta beberapa pengumuman lain yang berkaitan demi manfaat ahli.

“Kita juga akan merujuk isu lanjutan waktu operasi ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Tempoh PKP penuh dilanjutkan lagi dua minggu bermula 15 hingga 28 Jun ini, sebagai sambungan kepada PKP 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas mengenai perkembangan harian Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast