Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sembilan lagi lokaliti di beberapa negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Kawalan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 Jun ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama, katanya, lapan lokaliti yang dilaksanakan PKPD selama dua minggu sebelum ini akan ditamatkan masing-masing pada 12 dan 13 Jun ini.

Kata beliau, lokaliti yang diletakkan bawah PKPD bermula Isnin ini ialah Kampung Lakai, Jelebu, Negeri Sembilan; Kawasan Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang; dan Sabah melibatkan Kampung Indah, Nabawan; Kampung Manggis, Kuala Penyu; dua kawasan di Tawau; Kampung Baru (SFI), Sipitang; dan dua kawasan di Kota Belud.

Bagi kawasan yang ditamatkan PKPD mulai tengah malam ini ialah Kampung Baru Melayu Bentong dan FELDA Jengka 24, Jerantut, Pahang, manakala FELDA Sahabat 40 (Kg Kembara Sakti), Tungku, Lahad Datu; Kampung Padawan, Papar; tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan; dan Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin di Pahang pada 13 Jun.

“Kawasan yang dikenakan PKPD Isnin ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

“Hasil daripada ujian saringan Covid-19 juga merekodkan kes positif yang tinggi dan membimbangkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata beliau, keadaan di Kampung Lakai, Jelebu menunjukkan daripada 369 ujian saringan yang dilakukan, 92 daripadanya dilaporkan positif Covid-19, termasuk peningkatan kes di Kampung Indah, Nabawan.

Kes di Kampung Manggis, Kuala Penyu, Sabah pula merekodkan tujuh kes daripada 11 ujian saringan dalam tempoh seminggu, manakala Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah di Tawau mencatatkan 11 kes positif daripada 12 ujian saringan.

Beliau menyatakan, kawasan Kampung Raja, Cameron Highlands di Pahang iaitu Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja menyaksikan 29 kes dikesan dalam tempoh dua minggu.

“Di Kampung Baru (SFI), Sipitang, KKM melaporkan 29 kes positif Covid-19 daripada 46 ujian saringan. Begitu juga Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan di Kota Belud, berlaku peningkatan kes,” katanya.

Bagi kes penamatan PKPD, berlaku trend penurunan kes positif di Kampung Baru Melayu Bentong, dan FELDA Jengka 24, Jerantut di Pahang, termasuk FELDA Sahabat 40 (Kg. Kembara Sakti), Tungku, Lahad Datu, Sabah.

Kes penurunan dan kluster terkawal juga direkodkan di Kampung Padawan, Papar, Sabah; tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan dan Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Romping, Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast