Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi

GEORGE TOWN – Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pulau Pinang menyokong penuh kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI) Datuk Che Abdullah Mat Nawi bahawa penerusan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR)  menunjukkan sikap ego DAP.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, selain ego, tindakan kerajaan negeri itu turut mengancam sumber makanan laut dan alam sekitar.

Jelas beliau, pihaknya kekal membantah pelaksanaan projek PSR yang dilihat gagal menjamin kelestarian alam sekitar, jaminan keselamatan makanan laut  serta punca mata pencarian bagi nelayan pesisir pantai di negeri ini.

“Terbaharu kita lihat kerajaan negeri cuba mengaburi rakyat Pulau Pinang dengan menukar nama projek PSR kepada ‘Penang South Island’ (PSI).

“Langkah penjenamaan semula sebagai projek pembinaan pulau biasa dan bukannya penambakkan laut itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Pakatan Harapan iaitu rakan sekutu DAP sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Fauzi, pihaknya berharap agar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Agroteknologi Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin lebih serius dan berani dalam memberikan tekanan kepada kerajaan negeri berhubung ketegasan mereka untuk meneruskan projek PSR.

“Beliau telah menyatakan tentangan berhubung projek PSR ketika dalam perjumpaan bersama Che Abdullah baru-baru ini dan kita harap beliau lebih serius dengan bantahannya itu.

“Pada masa yang sama kami juga turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk daripada Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan (NGO), aktivis alam sekitar dan pihak yang turut memainkan peranan dalam membantah projek PSR ini,” kata Muhammad Fauzi.

Tambah beliau, Pas Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan hasrat kerajaan DAP Pulau Pinang dalam meneruskan projek PSR ini dan memohon semua pihak terus memainkan peranan dalam menghalang projek ini sehingga dibatalkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kebanyakan penjawat awam pribumi Melayu takkan mampu milik rumah kos sederhana di PSR Penang. Ingat, dasar ekonomi apartheid aka DEB beri 30% ekonomi kepada majority pribumi Melayu supaya minority kaum asing dari Tanah Besar Cina dan India meraih keistimewaan 70% ekonomi kononnya pro rakyat berbilang kaum.

Comments are closed.