KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bersama rakyat sedang istiqamah dan dalam debaran menunggu keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang akan bersidang 16 Jun ini bagi menyelesaikan kemelut politik negara.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, rakyat kini dalam keluh kesah dan hilang arah dengan ancaman berterusan wabak Covid-19 serta ekonomi negara semakin merudum, kritikal dan genting.
Kata beliau, sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong dengan semua pemimpin utama parti politik yang mempunyai wakil dalam Parlimen bermula 9 Jun lalu menjadi teka teki.
“Pelbagai pandangan telah dilontarkan oleh pihak berkenaan dengan pro dan kontra antara satu sama lain.
“Semuanya menjadi teka-teki apa ramuan yang akan diputuskan oleh YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu yang bermesyuarat Rabu ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dr. Ibrahim berkata, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mendedahkan secara terbuka cadangannya kepada YDP Agong agar mengisytiharkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti peristiwa 13 Mei 1969.
Malah, katanya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut mendedahkan bahawa YDP Agong bertitah, cadangan darurat Mageran boleh dilaksanakan jika kerajaan bersetuju.
“Apakah di bawah Ordinan Darurat, YDP Agong mesti mendapat persetujuan kerajaan tidaklah dapat dipastikan. Tetapi, apakah setakat ini sahaja kuasa YDP Agong?
“Lebih baik serah sahaja kepada kerajaan secara total tanpa ada semak dan imbang apa sahaja mahu dilaksanakan. Tidak perlu ada mesyuarat itu dan ini.
“Hebat kuasa seorang Perdana Menteri, tidak perlu apa-apa semak dan imbang, baik Parlimen atau Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadi payung rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menerusi kenyataan terbuka Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad menyatakan tidak perlu diwujudkan Mageran, cukup apa yang sedang dilakukan sekarang ini bagi menangani ancaman Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi dan kesengsaraan rakyat.
Ini maknanya, kata Dr. Ibrahim, Perdana Menteri tidak mahu berkongsi kuasa secara mutlak dan sebab itu Parlimen tidak bersidang, manakala Ahli-ahli Parlimen masih menerima gaji serta elaun yang besar.
“Rakyat kata Ahli Parlimen makan gaji buta. Hebat kuasa Perdana Menteri di bawah darurat ala Perikatan Nasional (PN), tetapi keadaan tidak juga bertambah baik,” katanya.
Mengenai MAGERAN, beliau berkata, pada awalnya, Putra juga mencadangkan darurat ala 13 Mei 1969 dengan menubuhkan Mageran untuk mentadbir negara buat seketika sehingga dapat menstabilkan semula politik negara.
Kata beliau, dengan cara itu, sepanjang Mageran dapat mencari penyelesaian secara total kepada segala masalah yang dihadapi rakyat dan negara.
“Banyak juga tokoh masyarakat bersetuju dengan cadangan Mageran ini dan terakhir Tun Dr. Mahathir sendiri turut membuat cadangan yang sama.
“Bagaimanapun, bezanya Tun Dr. Mahathir juga mencadang beliau sendiri mengetuai MAGERAN jika dapat ampun perkenan YDP Agong. Bagi Putra, kita serahkan kepada kebijaksanaan baginda.
“Kita berharap jika baginda memperkenan melaksanakannya, siapa yang dilantik mengetuai MAGERAN mestilah tokoh berintegriti, berwibawa, berpengalaman dan diterima oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, oleh kerana Mageran bukan pilihan kerajaan PN dan pembangkang Pakatan Harapan (PH), maka apa pilihan yang ada.
Jika prinsip demokrasi didaulatkan dan setakat kuasa yang ada pada YDP Agong sebagai Raja Berperlembagaan, amat wajar dan terbaik selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Rabu ini, Putra mencadangkan agar darurat ditamatkan serta merta dan Parlimen dibenarkan bersidang segera.
Katanya, tidak ada pilihan lain, kaedah menangani Covid-19 boleh diurus melalui SOP lebih berkesan dengan menubuhkan Jawatankuasa Operasi Khas Covid-19 dan Jawatankuasa Pemulihan Ekonomi Negara yang dianggotai pakar berwibawa.
“Nasib baik sejarah rakyat Malaysia adalah rakyat yang tinggi nilai kesabarannya. Janganlah kesabaran rakyat hilang perhitungannya. Bermula hujan rintik-rintik berakhir dengan ribut dan taufan,” katanya. – MalaysiaGazette