Kredit: FB Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR – Ketiadaan tiga tonggak utama untuk berdepan Thailand pada awal pagi Rabu ini, agak merisaukan Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, namun beliau percaya mana-mana pemain yang diberikan peluang boleh memberikan aksi yang baik.

Pemain pertahanan kiri La’Vere Corbin-Ong, pemain tengah Syamer Kutty Abba dan pemain sayap Mohamadou Sumareh yang menjadi tonggak utama skuad kebangsaan, digantung daripada bermain pada aksi terakhir Kumpulan G selepas menerima dua kad kuning dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Ketiadaan Corbin-Ong di bek kiri akan sedikit sebanyak menjejaskan benteng pertahanan negara. Kita kena sediakan kesebelasan terbaik untuk aksi Thailand ini, kami barisan kejurulatihan sedang berbincang mengenai perkara itu.

Saya yakin pemain-pemain lain juga mahu mempamerkan aksi terbaik jika diturunkan nanti. Walaupun Thailand turun tanpa beberapa pemain bintang, mereka ada banyak pemain muda berkualiti baik yang perlu diawasi,” katanya menerusi sidang media secara maya dari Dubai, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau meminta anak buahnya untuk mempamerkan aksi lebih meyakinkan dan bersemangat menentang Thailand untuk menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga bagi mengelakkan aksi “playoff” ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia, selepas terlepas peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan kelayakan automatik ke Piala Asia.

Sementara itu, walaupun bapanya, Tan Chooi Siak, 95, meninggal dunia kerana sakit tua pada Jumaat lepas, lebih kurang 12 jam sebelum aksi menentang Vietnam, Cheng Hoe berkata beliau memilih untuk meneruskan perjuangan bersama skuad kebangsaan.

“Setiap hari saya kena fokus kepada pasukan. Walaupun kehilangan orang tersayang, disebabkan tugas dan tanggungjawab sebagai jurulatih saya tak boleh tinggalkan pasukan pada waktu ini.

Dalam keadaan itu, sesiapa pun akan berasa sedih, tetapi saya kena pikul tanggungjawab demi negara. Saya ada berhubung dengan ahli keluarga, mereka katakan ‘teruskan tanggungjawab di sini.’ Segala urusan kematian ayah saya serah kepada ahli keluarga uruskan,” katanya.

Dalam pada itu, pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi yang membuat penampilan pertama sebagai pemain gantian menentang Vietnam awal pagi semalam, tidak mahu terlalu terbuai-buai dengan pujian yang diterimanya.

Malah, pemain berusia 19 tahun itu yang gembira impiannya untuk beraksi dengan skuad Harimau Malaya sudah tercapai, mahu terus mempamerkan prestasi yang baik jika mendapat kepercayaan Cheng Hoe untuk diturunkan menentang Thailand.

“Buat masa ini saya tak meletakkan harapan tinggi untuk dibariskan dalam kesebelasan utama, namun jika diturunkan saya akan beri yang terbaik.

Saya nak timba pengalaman untuk mengharungi cabaran untuk bermain di peringkat antarabangsa yang lebih tinggi. Awal-awal memang saya rasa gementar kerana tak pernah beraksi dalam perlawanan antarabangsa  tetapi kini sudah ada keyakinan selepas mula beraksi,” katanya.

Selepas tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-4 dan Vietnam 1-2, Malaysia menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan sembilan mata daripada tujuh perlawanan.

Vietnam yang mengekalkan rekod tanpa kalah, kekal di tangga teratas kumpulan dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan, diikuti UAE (15 mata) dan Thailand (sembilan), manakala Indonesia kekal di tangga tercorot dengan satu mata.- BERNAMA