Buku derma darah Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman merekodkan sudah 80 kali beliau menderma darah di Kuantan, Pahang.

KUANTAN- Sejak berusia 21 hingga 46 tahun – menderma darah dianggap sebagai amalan kesihatan buat dirinya dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, beliau sudah 80 kali menderma darah dan menganggapnya ia sumbangan kecil kepada masyarakat.

Tambahnya, pengalaman menyaksikan sendiri kekurangan bekalan darah di sebuah hospital membuatkan dirinya tidak mahu terlepas peluang menderma darah setiap kali ada program berkaitan.

“Pada ketika itu saya bekerja sebagai pegawai perubatan di Unit Kecemasan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan dan melihat ramai pesakit memerlukan darah seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia, wanita yang tumpah darah dan sebagainya.

“Bermula dari situ, saya berasa perlu saya menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan dan sekurang-kurangnya amalan saya ini mampu memberi kehidupan kepada insan lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, Che Adam berkata, galakan positif daripada ramai pesara yang pernah menyarung pakaian seragam dan masih aktif menderma menguatkan lagi semangatnya berbuat demikian.

BACA: Suasana Sambutan Hari Penderma Darah di Kuala Lumpur

“Kalau mereka yang sudah berusia masih terus menderma darah dan jadikan ia sebagai satu amalan baik untuk kesihatan, apa salahnya kalau saya pun mencontohi mereka.

“Jadi, bermula dari situ menderma darah sudah menjadi amalan saya dan akhirnya ia juga semakin menjadi ikutan anak-anak buah (kakitangan APM),” katanya.

Terdahulu, Che Adam menderma darah kali ke 80 di unit Tabung Darah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 1 Jun lalu sempena meraikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan pada setiap 14 Jun.

Mengulas lanjut Che Adam berkata, inisiatif menderma darah sendiri semasa musim pandemik merupakan tanggungjwab sekali gus membantu tabung darah HTAA mendapatkan bekalan darah. – MalaysiaGazette