SEPANG – Gara-gara takut akan dimarahi abangnya kerana memandu dengan lesen memandu tamat tempoh, seorang pemuda memecut kereta bagi mengelak diperiksa  polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 47.8 Lebuhraya Damansara Puchong pada Sabtu lalu.

Beliau bagaimanapun menyerah diri kepada semalam selepas polis berjaya mengesan pemilik kenderaan yang dipandunya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis berjaya mengesan rakaman video insiden yang tular di laman Facebook bertajuk info Bencana Pahang dan Luar Pahang pada jam 3 petang semalam.

“Semasa sepasukan anggota polis terdiri daripada Inspektor Kalidasan Ramasamy bersama enam anggotanya menjalankan SJR bergerak di KM 47.8 LDP, seorang anggota trafik menghampiri kenderaan suspek untuk pemeriksaan dan tiba-tiba pemandu kenderaan Toyota Lexus warna hitam telah tanpa berhenti kenderaannya terus memecut laju hingga hampir melanggar seorang anggota bertugas di lokasi SJR itu.

“Kenderaan tersebut gagal dikesan disebabkan kenderaan tersebut dipandu begitu laju selain nombor pendaftaran kenderaan juga tak dapat dikenalpasti semasa kejadian itu dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, daripada hasil siasatan polis mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun.

Menurut Wan Kamarul, pemilik kenderaan itu telah datang ke Balai Trafik Sepang pada jam 6.30 petang semalam untuk membantu siasatan lanjut polis.

Katanya, hasil soal siasat ke atas lelaki itu mendapati semasa kejadian kenderaan itu dipandu oleh adiknya yang berusia 21 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati adik lelaki berkenaan tidak berhenti di SJR kerana takut dimarahi abangnya akibat dia  memandu kendraan dengan lesen yang telah tamat tempoh.

“Suspek iaitu adik pemilik kenderaan itu kemudian telah tampil serah diri di Balai Trafik Sepang kira-kira jam 8 malam dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

Jelas beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 78(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette