Tertuduh, Abd Aziz Abdullah@Shariff, 39, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menawar dan memberi wang suapan berjumlah RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2021.

SHAH ALAM – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menawar dan memberi wang suapan berjumlah RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis, bulan lalu.

Tertuduh, Abd Aziz Abdullah@Shariff, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 24 Mei 2021, kira-kira pada jam 6 petang, di tempat letak kereta Transit Aliran Massa (MRT) Sri Damansara Sentral, Bandar Sri Damansara, Sg Buloh, Abd Aziz menawarkan satu suapan wang tunai berjumlah RM120,000 kepada pegawai kanan polis.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya kerana memiliki dadah jenis syabu di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 24 Mei 2021, jam 9 malam, di Petron Persiaran Mahogani, Pusat Servis J&H, Jalan Mahogani, Petaling Jaya, Abd Aziz memberikan wang suapan RM120,000 kepada rakan subahatnya, Mohd Nizam Mohamed Lazim untuk diberikan kepada pegawai kanan polis sama.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Abd Aziz kerana memiliki dadah jenis syabu di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abd Aziz didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Akta ini memperuntukkan hukuman tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab memohon agar jaminan tidak ditawarkan memandangkan tertuduh masih menjalani tahanan reman di Penjara Sungai Buloh.

Tertuduh yang sudah berkahwin dengan seorang isteri dan empat anak bagaimanapun tidak diwakili peguam ketika pertuduhan dibuat.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pasukan pendakwaraya agar jaminan tidak diberikan kepada tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan 12 Julai 2021 sebagai tarikh sebutan kes bagi penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette