Jumlah kes import harian melibatkan warga asing kekal berkurangan sejak beberapa bulan lalu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes import harian melibatkan warga asing kekal berkurangan sejak beberapa bulan lalu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kes berkurangan itu menunjukkan kejayaan polisi kerajaan menyekat kemasukan warga asing dengan menutup pintu sempadan termasuk penguatkuasaan Op Benteng di kawasan sempadan serta perairan negara.

Kata beliau, penutupan pintu sempadan rasmi seperti di lapangan terbang menjadi fokus kerajaan untuk memastikan tiada kemasukan warga asing yang boleh menyumbang kepada penularan kes Covid-19 di dalam negara.

updating MySejahtera
Ismail Sabri Yaakob

“Pasukan keselamatan negara seperti polis, tentera, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan RELA bertungkus lumus melakukan rondaan dan kawalan untuk memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terjamin.

“Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan penurunan kira-kira 20 peratus kes positif sepanjang tujuh hari pada minggu ke-22, berbanding minggu sebelumnya, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada rakyat selepas peningkatan mendadak kes sebelum ini.

“Diharapkan dengan penurunan kes harian, segenap lapisan rakyat tidak leka akan pematuhan SOP bagi melandai lengkuk ke tahap yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam Op Benteng semalam, pasukan keselamatan menangkat 10 pendatang asing tanpa izin dan merampas lapan kenderaan darat serta empat bot atau kapal.

Dalam operasi itu, katanya, sebanyak 207 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, seramai 958 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Daripada jumlah itu, menurutnya, seramai 910 individu dikenakan kompaun, 47 direman, manakala seorang lagi dijamin.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal seramai 232 individu, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (196), tidak memakai pelitup muka (135), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (112) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (105 kes).

Bagi kesalahan membawa penumpang berlebihan sebanyak 63 kes, diikuti aktiviti pusat hiburan (38), premis gagal patuhi arahan (lapan) dan lain-lain kesalahan 69 kes.

Katanya, semalam juga Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah melakukan sebanyak 93,241 pemeriksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast