KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr. Rais Yatim mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan penggunaan ubat Ivermactin yang dikatakan berkesan sebagai anti Covid-19.
Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, beberapa negara seperti Brazil dan Bangladesh telah memperakukan Ivermactin berkesan untuk merawat virus Covid-19.
“Elok pihak berkuasa KKM mula perluaskan perspektif ubat-ubatan anti Covid.
“Kalau Bangladesh, Brazil dan lain-lain negara sudah perakukan Ivermactin ini berkesan sebagai Covid-19, berilah ruang percubaan di Malaysia,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Sambil menyatakan ubat itu murah, beliau berkias dengan peribahasa, “jodoh menunggu pertemuan, penyakit menunggu ubat yang serasi”.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 7 Jun lalu dilaporkan menasihati masyarakat agar tidak mempercayai bulat-bulat sebarang ubat yang didakwa berkesan merawat Covid-19 sebaliknya perlu mendapatkan pandangan pihak berwajib untuk memastikan kesahihannya.
Dalam kenyataan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak mengambil produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan Covid-19 bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.
Katanya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga memaklumkan, tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.
Bersetuju perkara sama, Pakar Perunding Ortopedik Hospital Kemaman, Dr. Ahmad Mahyuddin Mohamed turut menjelaskan, maklumat sedia ada sekarang ini belum cukup untuk menggunakan Ivermectin sebagai rawatan kepada semua pesakit Covid-19. – MalaysiaGazette
















