Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Haliza Khalid bersama Pengurus Aman Palestin Johor Bahru, Ustaz Norul Ahmady (dua, kanan) menyampaikan cek RM11,000 sebagai simbolik penerimaan dana sumbangan buat rakyat Palestin. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Selatan (2), Khairun Ahmad (kiri) dan Pengarah Perubatan, Dr Ali Md Salleh (kanan) di Johor Bahru hari ini.
JOHOR BAHRU- Hospital KPJ Puteri di sini berjaya mengumpulkan RM11,000 menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin yang dikumpul sejak 27 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Haliza Khalid berkata, dana itu diperoleh melalui hasil sumbangan pesakit, orang awam, anggota pekerja, doktor pakar dan pengurusan hospital bagi membantu rakyat Palestin.

“Penerimaan anggota pekerja sangat positif walaupun kebanyakan mereka adalah petugas barisan hadapan yang kini sedang berdepan Covid-19 tidak menghalang untuk bersolidariti kepada rakyat Palestin.

“Selain melahirkan rasa simpati, kita berharap dengan sumbangan ini memastikan rakyat Palestin mendapatkan bantuan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Haliza memberitahu, sumbangan itu telah diserahkan kepada Pengurus Aman Palestin Johor Bahru, Ustaz Norul Ahmady Abdul Rahman.

Jelasnya, walaupun wang yang dikumpulkan tidak melibatkan jumlah yang besar namun ia diharap membantu rakyat Palestin meneruskan hidup dengan bantuan keperluan asas seperti makanan dan perubatan ketika berdepan saat genting.

Namun usaha murni barisan hadapan KPJ Puteri bersama orang awam dalam mengumpul dana tersebut diyakini dapat membantu rakyat Palestin yang memerlukan.- MalaysiaGazette