Sebanyak tujuh lagi lokaliti di beberapa negeri diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dua lokaliti dilanjutkan manakala 32  ditamatkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh lagi lokaliti di beberapa negeri diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dua lokaliti dilanjutkan manakala 32  ditamatkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh lokaliti PKPD berkuatkuasa 16 Jun ini selama dua minggu diikuti kawasan yang dilanjutkan tempoh bermula tengah malam ini dan lokaliti yang ditamatkan pula bermula hari ini hingga esok.

Lokaliti yang dikenakan PKPD ialah asrama pekerja warga asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor; dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak; manakala Sabah melibatkan Kampung Sundang Laut, Sandakan; dua lokaliti di Penampang dan Kampung Skim Cocos, Kunak.

Ismail Sabri Yaakob

Bagi PKPD yang dilanjutkan dua minggu sehingga 29 Jun ini ialah 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak; namun, FELDA Trolak Utara, Sungkai, Perak hanya seminggu sehingga 22 Jun ini.

Jelas beliau, 32 lokaliti yang ditamatkan berkuatkuasa tengah malam ini ialah 28 Mukim Kota Setar, Kedah; Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang; Bandar Bentong, Pahang; Rumah Panjang Wun anak Ering, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak; dan Kampung Bunut, Mukah, Sarawak.

“Asrama pekerja warga asing, di Tangkak dikenakan PKPD berikutan berlaku kadar kebolehjangkitan yang tinggi iaitu 128 individu positif daripada 237 ujian saringan.

“Lain-lain lokaliti mencatatkan kes positif yang tinggi dan peningkatan ketara dalam tempoh seminggu dengan kadar positiviti melebihi 42 peratus bagi satu-satu lokaliti,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, SOP bagi semua lokaliti PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Menurut Ismail Sabri, lokaliti yang tamat PKPD dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan hasil ujian saringan dan berlaku penurunan kes dengan kluster adalah terkawal.

Dengan itu, katanya, kerajaan bersetuju menamatkan seawal hari ini dan paling lewat bermula tengah malam ini, namun penduduk di lokaliti berkenaan perlu mematuhi SOP PKP penuh yang bermula 1 Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast