KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 lagi lokaliti di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 17 Jun ini.
Pada masa sama, 11 lokaliti PKPD melibatkan Perak, Pahang dan Sabah akan ditamatkan mulai tengah malam ini dan esok.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya satu lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD sehingga 30 Jun ini, iaitu Kampung Simpangan, Tuaran, Sabah.
Menurut beliau, 10 lokaliti yang dikenakan PKPD sehingga 30 Jun ini ialah masing-masing dua perkampungan di Bahagian Kuching, Sarawak; di Kalabakan, di Tawau dan di Kota Kinabalu, manakala masing-masing satu lokaliti di Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud; dan PPR Taman Ehsan, Kudat, Sabah.
“Lokaliti yang akan dikenakan PKPD mulai Khamis ini didapati berlaku kes positif Covid-19, selain kadar kebolehjangkitan yang tinggi dikesan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 10 kawasan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata beliau, dua perkampungan di Bahagian Kuching, Sarawak yang disenaraikan untuk pelaksanaan PKPD ialah Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas, manakala di Kalabakan melibatkan Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai.
Di Tawau melibatkan Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah, di Kota Kinabalu pula Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil.
Kata beliau, pelaksanaan PKPD itu untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.
Berikut adalah 11 lokaliti yang ditamatkan mulai tengah malam ini dan esok, iaitu Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau di Kota Belud, Sabah; Lorong Taman Utama 5, 6, 7 & 8, Taman Utama, Sandakan, Sabah; dan Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu, Sabah.
Turut ditamatkan ialah PKPD di Kampung Sugud, Penampang, Sabah; Lorong Ulu Sibuga 5 & 9, Fasa 7 Taman Mawar, Sandakan, Sabah; Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong di Perkampung Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung, Perak; dan FELDA Tersang 1, 2 & 3, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang.
Sementara itu, kata Ismail Sabri, seramai 854 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP PKP semalam.
Katanya, daripada jumlah itu, 819 individu dikenakan kompaun, manakala 35 lagi individu direman.
Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (196), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (173), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (145) dan tiada penjarakan fizikal (98).
Turut direkodkan, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (83), membawa penumpang berlebihan (65), aktiviti pusat hiburan (32), premis gagal patuhi arahan (lapan) dan lain-lain kesalahan 54 individu. – MalaysiaGazette