KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-15.
Mesyuarat yang dihoskan oleh Brunei sebagai Pengerusi ADMM 2021 itu diadakan melalui persidangan video.
MalaysiaGazette dimaklumkan, mesyuarat itu sebulat suara bersetuju dengan sembilan inisiatif ASEAN termasuk cadangan Malaysia menubuhkan Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ACDN).
Penubuhan ACDN bertujuan untuk menghubungkan semua pusat operasi pertahanan siber negara anggota ASEAN (AMS) di bawah rangkaian dan memanfaatkan kepakarannya.
Inisiatif itu akan menjadi platform kepada AMS untuk menggalakkan pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik serta membina keyakinan dan kesediaan dalam pertahanan siber.
Jelas sekali, biarpun sibuk dengan tugas sebagai jurucakap kepada Kabinet mengenai Covid-19 yang memerlukan beliau mengerah sepenuh fikiran dan tenaga, tugas hakiki sebagai Menteri Pertahanan tetap diutamakan. – MalaysiaGazette