Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (tengah) melihat pihak forensik memeriksa kereta yang dinaiki suspek sebelum melanggar mati seorang warga emas di Pulau Pinang baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah kereta yang dipandu seorang pemotong rumput kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum melanggar mati seorang warga emas di Jalan Perak di sini hari ini.

Tembakan itu dilepaskan berhampiran kawasan perumahan di Jalan Batu Uban 2 di sini iaitu kira-kira lebih tujuh kilometer dari lokasi langgar lari susulan suspek lelaki berusia 46 tahun itu cuba merempuh pihak polis yang mengejarnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki suspek ditahan anggota polis yang sedang melakukan rondaan pada jam 6.40 pagi tadi susulan berada dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat Jalan P. Ramlee menghala Jalan Perak.

Soffian Santong.

Jelas beliau, suspek tidak mempedulikan arahan pihak polis sebelum terus bertindak melarikan diri dan ketika dalam perjalanan itu dia melanggar seorang lelaki berusia 61 tahun yang sedang melintas jalan di Jalan Perak hingga menyebabkan kematian.

Seorang warga emas mati di lokasi kejadian akibat dilanggar suspek ketika melarikan diri daripada pihak polis.

“Selepas pelanggaran itu, suspek melarikan diri ke arah Jalan Van Pragh dan sebaik tiba di Jalan Batu Uban 2 iaitu berhampiran E Park, suspek telah diarahkan berhenti kenderaannya namun masih bertindak agresif untuk melarikan diri dan hampir melanggar anggota polis di lokasi kejadian.

“Ekoran daripada itu, anggota kereta peronda polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebelah kanan belakang kereta dinaiki suspek dan dalam masa yang sama, seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal yang datang memberi bantuan telah melepaskan satu das tembakan di bahagian hadapan kereta.

Pihak polis menjalankan siasatan di Jalan Batu Uban 2 di sini hari ini.

“Pihak polis mengejar suspek hampir 30 minit sebelum dia berjaya ditangkap di Jalan Batu Uban 2 dan tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Soffian, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis menemui tiga paket dadah jenis heroin seberat 13 gram dalam milikan suspek.

“Semakan ke atas kereta yang dinaiki pula, kita dapati ia didaftarkan atas nama sebuah syarikat sewa kenderaan di Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau membabitkan 14 kes dadah dan dua kes jenayah,” kata Soffian.

Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki suspek.

Tambah beliau, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960. – MalaysiaGazette