Armin Baniaz Pahamin (tengah)

KUALA LUMPUR – Sektor-sektor ekonomi yang masih ditutup sepanjang pelaksanaan Fasa Pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mungkin terpaksa ‘gulung tikar’ sebelum negara masuk ke fasa pemulihan seterusnya jika tiada peruntukan atau perancangan yang disediakan kepada setiap sektor terbabit.

Ketua Biro Ekonomi Pusat (Penaja) Parti Pejuang Tanahair, Armin Baniaz Pahamin berkata, memandangkan sehingga imuniti kelompok dicapai atau sehingga sektor-sektor dibuka, moratorium menyeluruh atau blanket moratorium perlu disediakan.

Moratorium ini tidak memerlukan peruntukan bajet tambahan daripada kerajaan, oleh itu pemberiannya patut disegerakan.

Menurutnya, bantuan juga perlu disediakan kepada peniaga kecil dan PKS yang tidak dapat beroperasi sehingga nilai ambang dicapai untuk maju ke fasa-fasa seterusnya.

”Program Kupon Makanan bantu PKS, pengusaha mikro seperti saranan awal Parti Pejuang boleh digunakan untuk membuat pembelian daripada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dan penerima bantuan kewangan melalui Geran Khas Prihatin (GKP),” katanya yang mengulas Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam.

Tambah beliau, antara bantuan lain yang boleh ditawarkan adalah bantuan pengurangan sewa untuk pejabat, kedai, kediaman sekurang-kurangnya 30%.

Kerajaan juga, perlu menawarkan pengurangan bil TNB sebanyak 50% selepas kenaikan bil elektrik yang mengejutkan semasa PKP 1.0 dahulu.

Selain itu, kerajaan juga sewajarnya membenarkan pencarum-pencarum membuat pilihan untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya mereka dapat menampung sara hidup, memulakan perniagaan baharu atau menjalani kehidupan selepas selesai PKP.

Armin berkata, oleh kerana sektor-sektor yang terjejas bergantung sepenuhnya di atas kebolehan kerajaan untuk mencapai sasaran nilai ambang disetiap fasa, bantuan yang diminta oleh industri wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette