Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara yang berkuatkuasa 1 Jun lalu menunjukkan tanda positif dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kes harian Covid-19 berjaya diturunkan dari rekod tertinggi lebih 9,000 kes pada Mei lalu kepada 5,419 kes semalam.

“Kita berharap kes akan terus menurun,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Mengenai Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Ismail Sabri menganggapnya satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut Covid-19.

Pelan itu, katanya, mengambil kira semua pertimbangan bagi memastikan keputusan yang diambil demi menyelamatkan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat.

“Fasa 1 PKP menyeluruh ini terpaksa dilaksanakan susulan peningkatan kes mendadak yang mengancam sistem kesihatan awam. Justeru, kerjasama anda semua amat diperlukan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini,” katanya.

Berhubung Pemantauan dan Penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan telah meningkatkan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melanggar SOP yang diwartakan.

Menurut beliau, sejak 1 Jun sehingga 14 Jun lalu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 404 kilang dan daripada jumlah itu, sebanyak 90 kilang telah diarahkan tutup.

Secara kumulatifnya, sebanyak 24,834 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa sejak 14 Januari lalu melibatkan 22,819 premis perniagaan dan 2,015 kilang.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 143 kilang dan 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup.

“Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara kumulatifnya sejak 13 Mei lalu telah melakukan sebanyak 597,252 pemeriksaan dan 414 kompaun dikeluarkan.

“Pada 15 Jun lalu pula, sebanyak 1,428 pemeriksaan pematuhan harian telah dilakukan dan 22 kompaun dikeluarkan ke atas premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP PKP,” katanya.

Beliau turut mendedahkan statistik jumlah aduan ketidakpatuhan SOP mengikut kategori dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima 266 aduan dari 6 Jun hingga 14 Jun mengikut kategori yang memerlukan tindakan penguatkuasaan daripada pelbagai kementerian dan agensi.

“Daripada jumlah itu, aduan tertinggi direkodkan melibatkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja ke premis pekerjaan sebanyak 62 aduan, non-essential 50 aduan dan 45 aduan bagi kategori ketidakpatuhan SOP am,” katanya.

Sebarang aduan boleh disalurkan terus kepada Malaysian Government Call Centre (MyGCC) menerusi talian 03-80008000, [email protected] atau emel ke aduan.pematuhan.mkn.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast