Supt Mohd Fazley Ab Rahman Foto HAFIZ SOHAIMI,10 JUN 2021.

NILAI – Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

itu nasihat Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Abd Rahman kepada kilang-kilang perindustrian yang tidak tersenarai dalam kategori sektor perkhidmatan penting tetapi masih ‘curi-curi’ beroperasi.

Menurutnya pemantauan secara berterusan akan dilakukan pihaknya bagi memastikan ia tidak beroperasi pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Penuh fasa pertama dilanjutkan yang berkuatkuasa sehingga 28 Jun ini tidak dingkari.

“Langkah itu penting kerana pada PKP Penuh fasa pertama sejak 1 hingga 14 Jun lalu, polis berjaya mengambil tindakan ke atas kilang perindustrian bukan perkhidmatan penting yang didapati membuka operasi dengan pengisytiharan palsu kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kali ini kita tidak mahu kesalahan yang sama diulangi mana-mana kilang atau majikan. Kita mahu mereka memberi kerjasama kepada polis dengan mengambil serius saranan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Penuh bagi melandaikan rantaian penularan Covid-19 di dalam negara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau juga menambah pemantauan rapi juga akan dilakukan ke atas premis perindustrian atau majikan yang pernah dikenakan tindakan kompaun dan penutupan operasi sebelum ini.

“Saya berharap syarikat bukan essential yang pernah membuka operasi pada PKP dan dikenakan tindakan penutupan oleh MITI supaya patuh secara serius dengan undang-undang yang berkuatkuasa dan tidak cuba mengulangi kesilapan tersebut.

“Kita akan berganding bahu dengan MITI untuk terus memantau aktiviti syarikat industri yang berkenaan mengelak melakukan kesalahan berulang.

“Jadi saya meminta kerjasama semua pihak termasuk masyarakat Nilai supaya menyalurkan maklumat kepada polis jika terkesan aktiviti majikan atau perindustrian bukan perkhidmatan penting yang menyalahi peraturan Majlis Keselamatan Negara,” tegasnya.-MalaysiaGazette