KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sewajarnya menunaikan impian seorang pelajar tunggal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing, Noor Fakrullah Eiman Mohd Noor untuk menjadi seorang doktor.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, JPA jangan hanya menunggu permohonan dari pelajar itu, sebaliknya mengambil tindakan lebih awal menawarkan biasiswa penuh kepadanya.
“Perkasa ucap setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar luar bandar dari Mersing ini yang berjaya mendapat semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Keputusan cemerlang yang diperolehi Noor Fakrullah Eiman ini membuktikan pelajar luar bandar juga boleh cermerlang dalam pendidikan walaupun serba kekurangan.
“Sudahlah dari keluarga kurang berada, ditambah lagi dengan serba kekurangan kemudahan, beliau masih boleh buat yang terbaik untuk mendapat keputusan cemerlang. Inilah dikatakan nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, seorang pelajar tunggal SMK Mersing yang memperolehi semua A dalam peperiksaan SPM 2020 berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan sekiranya ada tajaan daripada mana-mana pihak.
Pelajar yang mesra dengan panggilan Fakhrul itu membuktikan pandemik Covid-19 bukan penghalang untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan SPM.
“Memang tak dinafikan belajar bersemuka jauh lebih berkesan daripada dalam talian, namun semuanya terletak dalam diri pelajar itu sendiri kerana yang bakal mengambil peperiksaan adalah kita, bukan cikgu.
“Saya berusaha sendiri dan saling berhubung dengan guru untuk mendapatkan tunjuk ajar apabila ada keperluan kerana belajar dalam talian tak mencapai apa yang saya hendak,” kata Fakhrul.
Syed Hassan turut menggesa Ahli Parlimen dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mersing mengambil tindakan awal membantu pelajar itu untuk mencapai cita-citanya.
Kata beliau, jika tidak JPA menaja, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) atau MARA juga boleh menawarkan biasiswa sama.
“Pokoknya, pelajar cemerlang seperti ini tidak perlu ditunggu permohonan darinya, tetapi tawarkan segera biasiswa terus kepadanya.
“Perkasa berharap akan mendapat khabar berita menggembirakan mengenai pelajar ini bila dia benar-benar telah memulakan kuliah kedoktoran atas tajaan JPA atau YPJ mahu pun MARA.
“Sekali lagi Perkasa mengucapkan tahniah kepada adik Noor Fakrullah Eiman dan syabas kepada ibu bapanya atas kejayaan ini.
“Kepada adik Fakrullah, diharapkan tidak sia-siakan peluang yang diberikan nanti. Belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjadi seorang Doktor Pakar dan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara satu hari nanti,” katanya. – MalaysiaGazette