Kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) terus meningkat apabila sebanyak 924 yang rekodkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) terus meningkat apabila sebanyak 924 yang rekodkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan ini dilihat bermula sejak 24 April sehingga kini.

Menurutnya, meskipun kes baharu positif dilihat berkurangan selepas dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kes-kes di ICU pula di sebaliknya.

“KKM ingin memaklumkan bahawa tren kemasukan kes-kes Covid-19 ke ICU telah menunjukkan peningkatan bermula sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke17 (25 April 2021 hingga 1 Mei 2021) hingga ME ke-21 (23 Mei 2021 hingga 29 Mei 2021).

“Tren yang sama dilihat berterusan terutama bagi tempoh dua (2) minggu seterusnya sehingga ME ke-23 (6 Jun 2021 hingga 12 Jun 2021) di mana jumlah pengunaan katil ICU telah melebihi 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, ini berlaku ekoran kemunculan varian-varian baharu yang mengakibatkan kes-kes dikesan dengan gejala serius (kategori empat dan lima) pada kadar yang lebih cepat.

Dr. Noor Hisham dalam masa yang sama menyuarakan kebimbangan apabila kapasiti wad ICU kini melebihi 100 peratus.

Jelasnya  secara purata tempoh rawatan di ICU bagi kategori empat adalah di antara 14 hari ke 16 hari.

Manakala bagi pesakit kategori lima pula, tempoh rawatan di ICU antara 19 hari ke 26 hari.

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.

“Selain itu, penggunaan katil yang melebihi kapasiti ini juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang serius,” katanya.

Justeru KKM mengambil langkah siap siaga dalam berhadapan degan situasi ini.

Antaranya adalah menambah kapasiti dan menaik taraf katil-katil bagi menempatkan pesakit Covid-19.

“Sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Kerjasama dengan hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi antaranya Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan terkini Hospital Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit Covid-19, katanya.

KKM juga dalam masa sama, bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan hospital medan.

Kementerian juga bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi merawat pesakit melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara telah memasukkan beberapa indikator ambang utama termasuk kadar penggunaan katil di Wad ICU untuk menentukan peralihan fasa pemulihan.-MalaysiaGazette