KUALA LUMPUR – Kilang penapisan MSM Prai Berhad (MSM Prai) yang ditutup pada 8 Jun sehingga 17 Jun ini telah mendapat kebenaran beroperasi semalam.

Kebenaran beroperasi lebih awal itu diperoleh dengan mematuhi prosedur operasi standard serta panduan seperti yang digariskan oleh pihak berkuasa bagi sektor industri.

”MSM Prai akan memulakan operasi penapisan secara berperingkat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad.

Syed Feizal Syed Mohammad

Sekiranya tiada sebarang kekangan operasi yang tidak diduga, MSM Prai dijangka mencapai semula momentum pengeluaran secepat yang mungkin selaras dengan prestasi kebolehupayaan dan pengeluaran yang konsisten di kilang tersebut.

Berdasarkan penilaian awal, impak penutupan sementara terhadap hasil dan pendapatan syarikat dianggarkan kurang daripada 5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pihak syarikat juga sedang di dalam proses membuat tuntutan insuran kerugian sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Menurutnya, pelan mitigasi telah dilaksanakan bagi mengelakkan kekurangan bekalan serta meminimumkan gangguan rantaian bekalan melalui penstrukturan semula strategi kesinambungan perniagaan di samping menggunakan kebenaran permit bagi mengimport gula bertapis.

Kapasiti pengeluaran MSM Prai kekal sebanyak 1.05 juta setahun dan bersedia untuk mempertingkatkan pengeluaran bagi mencapai tahap penggunaan kapasiti seperti yang disasarkan untuk tahun ini.

MSM Prai akan terus memantau tahap operasi di samping memastikan langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat dilaksanakan bagi memenuhi kepentingan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para pekerja syarikat.

Katanya, syarikat itu turut membuat permohonan bagi mendapatkan keutamaan dalam program vaksinasi untuk semua pekerja dalam syarikat memandangkan MSM dikira sebagai salah satu pengeluar makanan keperluan asas.

Sebelum ini, kesemua 765 petugas di premis tersebut termasuk pekerja kontrak, yang mana lebih 92 peratus daripadanya adalah warganegara Malaysia telah melalui ujian sariangan selama dua hari sebagai langkah pencegahan proaktif.

Semua lapan orang petugas yang disahkan positif telah dikuarantinkan serta-merta disusuli dengan penjejakan kontak untuk ujian lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast