Lapangan Terbang Baharu Mukah di Sarawak yang telah siap sepenuhnya akan memulakan operasi rasminya bermula esok.

KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Baharu Mukah di Sarawak yang telah siap sepenuhnya akan memulakan operasi rasminya bermula esok.

Lapangan terbang itu akan menerima pendaratan pertama pesawat MASwings MH3553 DHC6 Vikings dari Miri pukul 9.10 pagi dan penerbangan pertama pesawat MH3412 ke Kuching pada jam 9.30 pagi Khamis, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong hari ini.

Katanya, pengoperasian lapangan terbang baharu itu hasil kerjasama kementerian dengan kerajaan negeri Sarawak dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Projek Pembinaan Lapangan Terbang Baharu Mukah di lokasi baharu iaitu 7 kilometer dari pusat bandar Mukah, dimulakan sejak 11 Ogos 2017 menggantikan STOLport Mukah dengan kapasiti baharu iaitu 265 ribu penumpang setahun.

“Lapangan Terbang Baharu Mukah direka bentuk untuk memberikan keselesaan dan menepati kehendak rakyat Mukah yang menggunakan perkhidmatan udara luar bandar yang menjadi nadi kepada pergerakan penumpang dan barangan di kawasan terbabit,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ka Siong, reka bentuk Lapangan Terbang Baharu Mukah dilengkapi dengan bangunan terminal baharu seluas 3,125 meter persegi, landasan sepanjang 1,500 meter dan lebar 30 meter, apron, laluan taxi selebar 15 meter dan tempat letak kenderaan awam dengan kapasiti 100 buah kereta dan 20 buah motosikal termasuk 20 teksi dan 2 bas.Ihsan MoT

Menurut Ka Siong, reka bentuk Lapangan Terbang Baharu Mukah dilengkapi dengan bangunan terminal baharu seluas 3,125 meter persegi, landasan sepanjang 1,500 meter dan lebar 30 meter, apron, laluan taxi selebar 15 meter dan tempat letak kenderaan awam dengan kapasiti 100 buah kereta dan 20 buah motosikal termasuk 20 teksi dan 2 bas.

Ujar beliau, lapangan terbang baharu Mukah juga menempatkan Menara Kawalan Trafik Udara, Pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Metrologi (MET) dan Bangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain itu tambah beliau, Lapangan Terbang Mukah juga dilengkapi dengan sistem Wind & Runway Visual Range (WRVR) dan sistem navigasi radio Doppler VHF Omnidirectional Range (DVOR) serta sistem pencahayaan pendekatan sederhana.

“Kementerian dan juga kerajaan Sarawak yakin dan percaya bahawa dengan beroperasinya lapangan terbang berkenaan, ia akan menyokong pembangunan Sarawak Government’s Economic Plan for SCORE (Sarawak Corridor of Renewable Energy) di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi daerah Mukah dengan memudahkan pergerakan sektor perdagangan dan eksport pertanian, perikanan, makanan dan produk tempatan iaitu sago, nanas tempatan (sawit) dan umai (makanan istimewa Melanau).

“Pembangunan Lapangan Terbang Baharu Mukah juga akan menyokong pembangunan daerah Mukah sebagai Hab Pendidikan, Pusat Penyelidikan, Pembangunan serta Taman Perindustrian Matadeng.

“Selain itu, diharapkan dengan pengoperasian Lapangan Terbang Baharu Mukah ini juga dapat mempercepat dan memudahkan akses pembekalan vaksin Covid-19 ke kawasan-kawasan pedalaman seterusnya merealisasikan hasrat Kerajaan dalam membina imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” tegasnya. – MalaysiaGazette