Pengerusi Air Asia X, Tan Sri Rafidah Aziz berucap pada Majlis Seri Wacana Perdana "Faktor Pasukan Menimbulkan Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana Untuk Mengatasinya" di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 07 OGOS 2019

KUALA LUMPUR –  Tan Sri Rafidah Aziz berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam, tidak mempunyai strategi untuk memajukan negara agar seiring dengan pengurusan Covid-19.

Bekas Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sepatutnya menumpukan langkah mengatasi kerugian yang ditanggung berikutan penutupan sektor pendidikan dan ekonomi selama lebih kurang 15 bulan.

”Pelan pemulihan seharusnya, antara lain memberi fokus sektor ekonomi, seperti…
pendidikan, industri utama, cukai untuk membantu mengurangkan kos, bergerak maju dan bersaing…… Pendidikan..keperluan untuk mengkaji semula penghantaran pendidikan, di semua peringkat infrastruktur pendidikan, selari dengan imperatif pasca Covid,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambahnya, kerajaan juga perlu mengatas setiap kerugian yang disebabkan oleh penutupan pendidikan dan pekerjaan selama 15 bulan lalu.

Bagaimana hendak  membantu Sekolah, dan pelbagai sektor perniagaan serta perancangan untuk meningkatkan kompetensi teknologi maklumat dan berkaitan teknologi maklumat.

Kerajaan juga perlu mencari langkah sewajarnya untuk menyediakan peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan yang telah diberhentikan akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan mesti melaksanakan langkah ke hadapan dalam Pelan Pemulihan Negara dan memilih isu-isu yang boleh dilaksanakan sekarang dalam masa yang sama tatkala Covid-19 sedang ditangani,” katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan juga pada waktu ini perlu fokus untuk membantu sektor perniagaan dalam negara supaya dapat terus kekal.

Kata Rafidah, ia dapat dilaksanakan dengan memperkenalkan potongan cukai.

“Semua ini perlu dilaksanakan seiring dengan pengurusan Covid-19,” ujarnya.

Kata Rafidah lagi, kerajaan juga sepatutnya memperkenalkan pelan untuk mengatasi masalah kesihatan khususnya berkaitan tekanan yang disebabkan Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

“Masalah mental ini juga memberi kesan kepada institusi kekeluargaan,” ujarnya.

Semalam, Muhyiddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara berkata kerajaan menggariskan garis masa pelan yang terdiri daripada empat fasa untuk membuka semula ekonomi Malaysia berikutan penutupan yang dilaksanakan sejak 1 Jun 2021.

Pelan itu, katanya mempunyai empat fasa dengan tiga petunjuk atau ‘Tiga Indikator Ambang Utama’.

Indikator pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

Kedua, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

Ketiga pula adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast