Azisman Alias

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk saman-saman terpilih yang boleh dikompaun selama sebulan bermula esok.

Diskaun itu termasuk saman-saman PDRM di dalam senarai hitam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Azisman Alias berkata, tawaran pengurangan saman itu tidak termasuk kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama yang dilakukan pada tahun 2021, kesalahan kenderaan berat dan kesalahan berkaitan pengubahsuaian ekzos.

“Orang ramai boleh mendaftar diri melalui portal rasmi PDRM atau pautan rasmi kami iaitu https://[email protected], muat turun aplikasi google plyastore, Apple Playstore dan Huawei Gallery.

“Aplikasi Mybayar Saman telah dipertingkatkan bagi membolehkan syarikat dan entiti perniagaan mendaftar sebagai pengguna dan seterusnya membuat pembayaran menggunakan aplikasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Azisman, semua kaunter pembayaran saman di kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara akan ditutup bagi mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Penuh sepanjang tempoh kempen itu berlangsung.

“Aplikasi baharu yang diperkenalkan iaitu Mybayar Saman merupakan inisiatif JSPT dalam menyokong hasrat kerajaan ke arah memberikan prkhidmatan pembayaran tanpa tunai sepenuhnya kepada masyarakat.

“Kita berharap pengurangan kompaun saman ini akan dapat membantu meringankan urusan orang ramai yang terkesan dalam situasi sukar pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.-MalaysiaGazette