KUALA LUMPUR – Awas, jangan buang sampah merata-rata!
Sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah bukan di tempat yang disediakan bukan sahaja menyusahkan orang awam malah menjadikan suasana persekitaran tidak sihat.
Misalnya tindakan tidak bertanggungjawab individu-indvidu yang membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang dikhaskan untuk peniaga di Pasar Taman Sri Gombak ini telah menyebabkan limpahan sampah selain mengakibatkan kesulitan dan kacau ganggu kepada peniaga di kawasan tersebut.
Hasil pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa kawasan hotspot, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengenakan kompaun ke atas dua individu yang didapati membuang sampah secara haram di Pasar Taman Sri Gombak kelmarin.
Kompaun yang dikenakan sebanyak RM1,000 ini adalah di bawah Seksyen 5, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPS) 2007.
MPS dalam kenyataannya memaklumkan notis kompoun telah dihantar ke kediaman pesalah melalui semakan nombor pendaftaran kenderaan di Aplikasi i-Sikap.
”MPS sekali lagi ingin mengingatkan kepada masyarakat untuk membuang sampah domestik di tong sampah kediaman mereka selain peka terhadap jadual kutipan sampah di kawasan kediaman masing-masing.
MPS akan terus giat menjalankan pemantauan terutama di kawasan hotspot bagi mengelakkan kejadian seperti ini terus berulang dan tindakan akan dikenakan kepada mereka yang membuat kesalahan.
Untuk maklumat lanjut berkaitan jkutipan sisa pepejal, orang ramai boleh melayari https://www.mps.gov.my/ms/ perkhidmatan-pembersihan atau menghubungi pihak KDEB Waste Management. – MalaysiaGazette